
Di atas langit Atlantik, antara Paris dan Rio
CATATAN FARHAN FAUZI
Saya melihat sendiri kesungguhan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam usaha beliau melonjakkan nama dan kedudukan Malaysia di pentas dunia — dengan caranya yang tersendiri.
Ketika staf dan delegasi lain mulai penat setelah perjalanan panjang dari Paris, beliau tetap tekun di tempat duduknya, meneliti nota dan membuat persiapan akhir untuk ucapan penting yang bakal disampaikan di Sidang Kemuncak BRICS di Rio de Janeiro.
Ini bukan rutin biasa. Ini adalah cerminan keazaman seorang pemimpin yang percaya bahawa Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam dunia yang sedang berubah pantas. Tiada ruang untuk bersantai, dan itulah rentak beliau selama ini. Mengikutinya bukan untuk mereka yang lemah semangat.
Saya yakin — tanpa pengorbanan seperti ini, negara akan kekal statik. Pasti akan ada suara sumbang dan kritikan dari pelbagai arah. Namun, beliau tidak pernah goyah.
Di sebalik cabaran dan gelora global, YAB PM percaya bahawa Malaysia mesti melangkah ke hadapan dengan keyakinan, berpegang teguh kepada prinsip, dan memanfaatkan setiap ruang kerjasama strategik — termasuk BRICS — demi masa depan negara.
Saya mohon doa yang tulus daripada semua agar beliau terus diberikan kekuatan dan kesihatan yang baik, agar amanah besar ini dapat terus digalas dengan cekal demi Malaysia yang lebih berdaya saing, berketerampilan dan MADANI.