Politik

Ismail Sabri beri pembangkang tawaran adakan kerjasama

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menawarkan pembangkang untuk bekerjsama dengannya dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19.

Tawaran itu bertepatan dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu semua pemimpin politik untuk melupakan segala perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

Ismail Sabri berkata, kesemua pihak sepatutnya sedia bekerja dalam satu pasukan demi mengharmonikan semula suasana demi mencapai kestabilan politik.

“Dalam erti kata lain, kita perlu mendakap erat prinsip kebersamaan. Saya faham, kemelut politik yang melanda negara menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat. Oleh itu, kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan. Ini termasuklah mewujudkan kerjasama rentas parti.

“Justeru, saya ingin menawarkan ruang kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19,” kata Ismail Sabri.

Tawaran itu dibuat dalam ucapan sulung Ismail Sabri selepas diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk menjawat jawatan Perdana Menteri yang baharu.

Ismail Sabri berkata, dua peralihan kerajaan dan dua Perdana Menteri dalam tempoh sepenggal adalah landskap politik yang merugikan rakyat dan negara.

Justeru beliau mengajak pemimpin parti pembangkang untuk bergerak bersama-sama kehadapan.

“Kita bersama-sama berjuang sebagai sebuah keluarga besar yang merangkumi penjawat awam, pekerja swasta dan yang bekerja sendiri – dalam memperbaik, merawat dan memulihkan semula tanah air ini.

“Kebawah Duli Tuanku dalam perjumpaan bersama ketua-ketua parti baru-baru ini telah bertitah kepada semua agar melupakan segala perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat,” katanya.

Tegas Ismail Sabri, beliau akan menyediakan pasukan pentadbiran yang akan berkhidmat membantu negara agar segera keluar daripada kemelut kesihatan dan ekonomi.

Beliau turut berikrar menghasilkan yang terbaik demi membuktikan kepercayaan rakyat kepada pasukannya tidak dipersiakan.

“Hasrat ini hanya berupaya dicapai melalui kerjasama daripada seluruh pentadbiran yang didukung oleh penjawat awam selaku tulang belakang pentadbiran negara.

“Marilah kita bersama-sama sebagai Keluarga Malaysia mengembalikan kesejahteraan dan keselesaan hidup yang pernah dikecapi suatu ketika dulu.

“Saya membulat tekad, bekerja bersama rakyat!” tegasnya.-SM

 

 

(Visited 396 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button