Agama

COVID-19: Manfaatkan sumbangan Ibnu Sabil MAIPs, bantu rakyat Malaysia terkandas – Raja Muda Perlis

Pejabat-pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara yang pernah menerima ‘Sumbangan Ibnu Sabil Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs)’ dan masih mempunyai baki daripadanya boleh menggunakannya sebagai belanja runcit tambahan bagi menampung ‘Dana Konsular’ pejabat masing-masing jika sudah tidak mencukupi untuk membantu meringankan beban rakyat Malaysia yang terkandas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berlangsung di segenap pelusuk dunia pada masa ini.

Sumbangan MAIPs tersebut telah diserahkan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail kepada Pejabat-pejabat Perwakilan Malaysia sempena keberangkatan baginda ke negara-negara berkenaan untuk kerja atau secara tidak rasmi sejak beberapa tahun kebelakangan ini sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab MAIPs dalam agihan ibnu sabil dan pengantarabangsaannya.

Demikian menurut siaran media dikeluarkan oleh pihak MAIPs pada hari ini.

Tabung Ibnu Sabil disumbangkan kepada pejabat-pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara bertujuan untuk membantu rakyat Malaysia yang berhadapan dengan situasi kecemasan, terputus bekalan saradiri atau terkandas untuk kembali ke tempat asal atau meneruskan perjalanan.

Menurut kenyataan itu juga, Tuanku Raja Muda Perlis selaku Yang DiPertua MAIPs menitahsarankan agar “Pihak pejabat Perwakilan Malaysia yang pernah menerima sumbangan MAIPs ini boleh memanfaatkannya bagi tujuan membantu memberikan ‘sumbangan kecil’ kepada rakyat Malaysia yang memerlukan dalam situasi kecemasan ekoran penularan pandemik COVID-19. Walaupun jumlah tidak banyak, namun adalah diharap dapat sedikit sebanyak membantu meringankan beban sehingga keadaan kembali reda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut bertitah bahawa dalam keadaan seperti inilah membuktikan contoh betapa perlunya untuk semua rakyat Malaysia khususnya dari Perlis yang bermastautin di luar negara baik sebagai pekerja ataupun pelajar agar mendaftarkan diri dengan pejabat Perwakilan Malaysia yang terdekat supaya dapat mempercepatkan sebarang tindakan bantuan, perlindungan, menjalani evakuasi jika perlu dan sebagainya bilamana berlaku bencana atau krisis besar.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor menambah bahawa antara Kedutaan Besar atau Suruhanjaya Tinggi Malaysia yang pernah disumbangkan dengan ‘Tabung Ibnu Sabil MAIPs’ sebelum ini adalah Bangkok, Dhaka, Islamabad, Beijing, Tokyo, Amman, Abu Dhabi, Doha, Muscat, Kaherah, London, Warsaw, Hague, Brussels dan Berne.

Tamvah beliau, pejabat-pejabat Konsulat atau Atase Malaysia baik daripada Wisma Putra mahupun kementerian-kementerian lain yang terdapat di Pekan Baru Riau, Hong Kong, Guangzhou, Shanghai, Sydney, Melbourne, Jeddah, Istanbul, Milan, Munich dan Frankfurt juga telah disalurkan sumbangan yang sama.

Foto fail ihsan MAIPs

Foto fail ihsan MAIPs

(Visited 158 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button