Nasional

Destinasi “Rombongan Che Kiah” Persatuan Kebajikan Wanita Wang Bintong cipta kelainan

KALAU disebut “Rombongan Che Kiah” maka destinasi yang dituju ke bandar-bandar besar atau tempat peranginan tersohor.

Sesuai dengan namanya maka kaum wanitalah yang juga menyertai rombongan menaiki bas yang “dicharted” khas ini dengan jiran sekampung, sahabat handai dan rakan taulan.

 

Bagaimanapun “Rombongan Che Kiah” yang dianjurkan oleh Pengerusi Persatuan Kebajikan Wanita Wang Bintong, Rosmuna Ibrahim atau membahasakan dirinya “Cik Muna” ini lari dari kebiasaan.

Ahli rombongan seronok menikmati makanan di rumah Ahmad Nazri dan isterinya. Ramlah di Kampung Timur Laut, Jalan Kukup, Pontian, Johor.

Sebuah perkampungan di Pontian, Johor dan dipilih sebagai destinasi utama selain dalam perjalanan pulang singgah sebentar di Arked Bandar Melaka dan Nilai, Negeri Sembilan.

Lebih menarik, sekalipun masing-masing mengeluarkan tambang RM140 seorang, Cik Muna membuka peluang untuk setiap ahli bersedekah.

 

Cik Muna puas hati dapat memasak bersama krewnya untuk ahli rombongan ke Pontian, Johor.

Cik Muna menyenaraikan barang diperlukan seperti sardin, santan kotak, beras pulut, minyak masak selain air mineral dan bekas makanan untuk pilihan bersedekah.

“Kita mengamalkan konsep masak sendiri, tapi jangan bimbang kerana krew Cik Muna akan mengambil tanggungjawab ini dengan sebaik mungkin,” katanya.

Perjalanan rombongan ini bermula dari Kampung Jarak, Bintong, Kangar bermula pada kira-kira pukul 1 pagi.

Bagaimanapun di sepanjang perjalanan, ahli rombongan bagai menaiki pesawat apabila sentiasa dilayan dengan makanan dan minuman dari semasa ke semasa oleh krew Cik Muna.p

Kata Cik Muna, “kalau boleh saya mahu sediakan makanan untuk ahli rombongan setiap dua jam sekali,”.

Malah beliau juga memaklumkan kepada pemandu bas, “kita tidak berhenti untuk makan kerana keperluan makanan dah mencukupi sehingga sampai ke destinasi,”.

Benarlah seperti apa yang dikata apabila diakui oleh salah seorang yang pernah mengikuti rombongan Cik Muna iaitu Rosni Salim, 67.

“Seronoknya ikut rombongan Cik Muna sebab memang tidak akan kelaparan kerana makanan disediakan di sepanjang perjalanan,” katanya.

Setelah menempuh perjalanan selama 12 jam akhirnya rombongan sampai di rumah sepupu Cik Muna, Ahmad Nazri Mahmud, 61 dan isterinya. Ramlah Jasman, 60 di Kampung Timur Laut, Jalan Kukup, Pontian, Johor.

Terpancar wajah ceria setiap ahli rombongan sehingga terlupa telah menempuh perjalanan sejauh 804 kilometer apabila siap dihidangkan dengan makanan asli Johor iaitu Soto dan Lontong selain nasi dengan masakan asam pedas Johor oleh tuan rumah.

Keenakan masakan asli Johor dari air tangan bonda tuan rumah yang berusia 83 tahun yang masih sihat ini serta adik beradiknya tinggal berdekatan memang sangat “power”.

Sebelum agenda seterusnya, ahli rombongan dibawa untuk menginap di sebuah homestay di Rambah, Jalan Kukup, Pontian.

Sebelah petang ahli rombongan dibawa ke Tanjung Piai yang merupakan titik Penghujung Selatan Tanah Besar Asia atau Daratan Paling Selatan Benua Asia.

Masing-masing seronok berada di situ walau hanya mampu melambai ke arah Singapura yang dipenuhi dengan bangunan pencakar langit.

Sekali lagi ahli rombongan makan malam di rumah yang sama, masing-masing gembira apabila dijamu dengan durian kampung sambil menikmati pelbagai makanan termasuk ikan pari bakar yang baharu dibawa pulang tuan rumah dari laut.

Keesokannya ahli rombongan menikmati sarapan pagi yang menunya termasuk cucur dan pulut durian sebelum pulang.

Bagi mengelak pembaziran, lebihan makanan dipek untuk dimakan ketika dalam perjalanan.

Saat meninggalkan tuan rumah sekeluarga yang baik hati setelah menerima kunjungan “seBas” ini sukar diucapkan oleh ahli rombongan.

Di sepanjang perjalanan, Cik Muna dan sahabatnya, Linda tidak pernah penat melantunkan suara untuk menghiburkan kami semua.

Untuk “memanas” kerusi, 14 ahli rombongan dipaksa berentap di pertandingan karaoke dengan upah RM10 seorang dan juara pula membawa pulang periuk nasi, sudah cukup mencelikkan mata yang mengantuk.

Ahli rombongan sekali lagi dijemput “sahur” percuma di kedai makan milik Sukilawati Lazim di Batu Kawan, Pulau Pinang pada pukul 2 pagi dengan hidangan ala Thai yang enak.

Kesemua ahli “Rombongan Che Kiah” selamat pulang ke Perlis sebelum Subuh berakhir dengan penuh kenangan manis. – SM

(Visited 771 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button