Nasional

Denda RM2,000 jika berbasikal tidak ikut peraturan di Putrajaya

BERMULA 9 Januari ini polis Putrajaya akan mengambil tindakan terhadap penunggang basikal yang gagal mematuhi ciri-ciri keselamatan termasuk pemasangan loceng, lampu dan brek.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Assiten Komisoner Mohd. Fadzil Ali berkata, individu yang didapati bersalah akan dirujuk ke mahkamah dan boleh dikenakan denda maksimum RM2,000.

Beliau berkata penguatkuasaan dibuat untuk memastikan keselamatan penunggang basikal di Putrajaya yang semakin menjadi tumpuan dengan anggaran 1,000 orang berbasikal pada hari minggu.

“Penunggang basikal yang melanggar undang-undang boleh dihukum mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959,” katanya selepas Operasi Khas Basikal di Dataran Putrajaya,hari ini.

Mohd. Fadzil berkata tindakan juga boleh diambil mengikut Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu, Seksyen 79(2) akta sama kerana gagal mematuhi papan tanda lalu lintas dan Seksyen 112(3) akta sama kerana melakukan mana-mana kesalahan berbasikal.


“Selain itu, penunggang basikal juga boleh diambil tindakan mengikut Kaedah 35 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 kerana tidak memasang lampu pada basikal dan Kaedah-Kaedah 42 kerana tiada ciri keselamatan seperti brek dan loceng iaitu hukuman tersebut tidak boleh dikompaun (NC),” katanya. – BERNAMA

(Visited 201 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button