Politik

Demokrasi masih subur walaupun jawatan tertinggi PKR tidak dipertanding

SHAH ALAM – Penganalisis politik berpandangan demokrasi masih subur dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) walaupun jawatan Presiden dan Timbalan Presidennya tidak dipertandingkan pada pemilihan parti itu Mei depan.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik dari Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfiq Yaakub berkata, ia kerana kepimpinan PKR ketika ini sudah dalam keadaan mantap apatah lagi mereka juga sedang mentadbir negara dan memberi fokus yang penuh kepada proses pemulihan ekonomi serta kestabilan politik.

“PKR lahir daripada perjuangan memulihkan demokrasi dan saya tidak nampak dengan tidak mempertandingkan jawatan nombor satu dan dua, rakyat terus menghukum serta melabel PKR cuba menyekat usaha menyuburkan demokrasi.

“Jawatan lain masih dipertandingkan misalnya Naib Presiden, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) hingga kepada kepimpinan akar umbi sekali gus membuktikan demokrasi masih mengalir dalam parti,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohammad Tawfiq menjelaskan, meskipun kedua-dua jawatan berkenaan tidak dicabar, Presiden dan Timbalan Presiden masih terikat dan perlu mendukung dasar yang ditetapkan oleh kepimpinan parti yang dipilih oleh akar umbi.

Menurutnya, sekiranya jawatan nombor satu dan dua dipertandingkan, kestabilan parti juga dikhuatiri akan terganggu sekali gus memberi kesan kepada kestabilan politik negara.

“Negara lebih penting berbanding pergelutan untuk merebut jawatan nombor satu dan dua, malah saya lihat ahli dan pemimpin PKR masih menghormati dan menyanjung Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) serta mendokong Rafizi (Datuk Seri Rafizi Ramli) sebagai pemimpin nombor dua,” ujarnya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button