Nasionalpilihan

Enam pelajar tahfiz dipaksa lakukan amang seksual, didera

Seorang pengasas pusat tahfiz di Melaka serta seorang warden asrama ditahan polis bagi membantu siasatan selepas disyaki melakukan amang seksual fizikal dan penderaan terhadap enam pelajar berusia antara 13 hingga 15 tahun.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, kedua-dua suspek warga Singapura berusia 40 tahun dan 36 tahun yang juga adik beradik ditahan polis selepas menerima enam laporan daripada pelajar terbabit di Balai Polis Batang Tiga.

Menurutnya, berdasarkan laporan yang dibuat oleh mangsa antara pukul 6.29 petang dan 9.13 malam, kejadian tersebut dipercayai berlaku di sebuah pusat tahfiz di Tanjung Minyak dan Alor Gajah serta sebuah kondominum di Klebang.

“Dalam kes ini, tiga pelajar telah dicium, disuruh menghisap kemaluan dan juga disuruh mengurut kemaluan oleh Mudir.

“Manakala tiga lagi pelajar telah didera secara fizikal dengan cara ditampar, ditumbuk, dipijak serta disebat dengan rotan oleh warden asrama,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Zainol berkata, mudir yang juga pengasas dan tenaga pengajar termasuk warden asrama itu ditahan di pusat tahfiz di Tanjong Minyak kira-kira pukul 1.00 tengahari hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan mudir mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (AKSTK 2017) dan Seksyen 377B Kanun Keseksaan manakala warden asrama pula tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Zainol berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Jelasnya, bagi kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat.

“Manakala bagi kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 pula boleh dikenakan denda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Menurutnya, polis akan mendapatkan perintah tahanan reman ke atas kedua-dua suspek Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, pagi esok. – SM

(Visited 202 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button