Politik

Sumbangan wang jaminan Guan Eng cecah RM3 juta – Tony Pua

EMPAT hari lalu DAP lancarkan kempen sumbangan RM10 untuk mengumpul dana buat bayaran ikat jamin Lim Guan Eng yang berhadapan dengan tiga pertuduhan.

Sehingga pukul 12 tengah hari tadi tabung tersebut telah mencecah kutipan hampir RM3 juta ringgit

Jumlah kutipan “Solidariti bersama Lim Guan Eng” itu diumumkan oleh Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua.

“Ratusan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang kaum telah pun menyambut seruan kempen ini.

“Setakat 12 tengah hari ini, kami sangat berbangga untuk melaporkan bahawa rakyat Malaysia telah mendermakan sejumlah RM 2.9 juta kepada kempen ini,” umum Tony Pua.

Tony berkata, dana yang dikumpul akan digunakan untuk membayar ikat jamin yang ditetapkan oleh pihak mahkamah.

Katanya, kutipan yang berlebihan akan digunakan untuk membiayai perjuangan dalam Pilihan Raya Umum untuk melawan kerajaan Perikatan Nasional.

Sementara itu, Tony berkata, DAP berasa marah dengan tindakan penganiayaan politik dari kalangan mereka yang berkuasa terhadap Lim Guan Eng melalui satu kes yang tidak mempunyai sebarang merit ini.

Pada Jumaat Guan Eng dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan semasa menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dia meminta suapan berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperolehi kelak daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Ia sebagai upah bagi membantu syarikat milik Zarul dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang. Guan Eng mengaku tidak bersalah dan mahkamah mengena ikat jamin sebanyak RM1 juta.

Semalam bekas menteri kewangan itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas tuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima wang suapan berjumlah RM3.3 juta bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Guan Eng bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Hari ini Guan Eng dihadapkan sekali lagi ke Mahkamah Sesyen Butterworth bersama-sama isterinya Betty Chew.

Guan Eng didakwa menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) untuk suapan berjumlah RM372,009 bagi isterinya, Betty Chew Gek Cheng melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

Betty pula didakwa atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah RM372,009 diterima daripada sebuah syarikat ke akaun bank miliknya.-SM

(Visited 170 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button