Rencah Hidup

Demi kucing jalanan, Khai sanggup belanja RM1,500 sebulan

KUCING jalanan atau kucing yang dipelihara di rumah juga perlu makanan, tempat tinggal dan disayangi. Itu kata Khairil Adnan Ibrahim atau lebih mesra disapa dengan panggilan Khai ketika hadir sebagai tetamu Live @ Suara Merdeka tengah hari tadi.

Sebagai pencinta kucing, Khai berkata, di rumahnya kini ada 30 ekor kucing jalanan yang dipungut, dirawat dan dijadikan sebagai kucing angkat bagi sesiapa yang mahu memelihara kucing.

KHAIRIL Adnan Ibrahim tetamu Live Suara Merdeka hari ini,.

“Sejak kecil lagi saya memang suka kucing dan apabila saya melihat banyak kucing yang dibuang oleh mereka yang mengambil jalan mudah untuk mengurangkan jumlah kucing di rumah, saya kasihan melihat nasib kucing-kucing jalanan ini.

“Jadi, saya kutip kucing-kucing ini dan mana yang sakit, saya rawat termasuk bagi mandi kucing-kucing ini dan kalau perlu, hantar ke vetarina,” kata Khai yang turut menjalankan perkhidmatan dandanan kucing atau cat grooming.

Sebagai pendandan kucing yang bertauliah dan mempunyai sijl, Khai berkata, masalah kucing jalanan berpunca daripada kita sendiri yang tidak tahu bagaimana untuk mengekang pembiakan kucing.

Justeru penting kata Khai apabila kucing-kucing dimandulkan atau dikasi agar pembiakan kucing terkawal.

“Apabila pembiakan tidak terkawal, ramai yang ambil jalan mudah dan ringkas iaitu buang sahaja kucing-kucing ini.

“Jangan zalimi haiwan ini kerana mereka juga makhluk Tuhan,” kata Khai yang turut memberi anjing jalanan makanan sekiranya terjumpa dengan kumpulan haiwan ini.

Sebelum negara dilanda Covid-19 dan kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Khai bekerja mempunyai pekerjaan tetap iaitu dalam bidang perhotelan.

Akan tetapi, segalanya berubah dan beliau tidak lagi dalam bidang tersebut.

“Bagi kelangsungan hidup dengan kucing-kucing, saya melakukan dua tiga pekerjaan dalam sehari termasuk membuat kerja-kerja penghantaran secara sambilan.

“Saya berusaha dan dengan pendapatan yang diperoleh, dapatlah menampung keperluan kucing-kucing dan kelangsungan hidup mereka dan saya sendiri,” katanya yang terus menawarkan perkhidmatan dandanan kucing kepada orang ramai. – SM

(Visited 208 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button