Parlimen

10 pengeluar vaksin Covid-19 dalam rundingan dengan Malaysia – KJ

MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan telah berkomunikasi dengan 10 pengeluar vaksin Covid-19 melibatkan lapan pengeluar yang dihubungi secara terus manakala dua lagi pengeluar dihubungi melalui Fasiliti Akses Global Vaksin Covid-19 (COVAX).

Ini susulan makluman diterima daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terdapat 11 calon vaksin Covid-19 yang berada pada peringkat ujian klinikal fasa tiga setakat 13 November lalu.

Khairy juga berkata, terdapat beberapa rundingan pada fasa akhir dan pengumuman rasmi akan dibuat apabila perjanjian dimeterai tidak lama lagi.

“Rundingan itu meliputi aspek kerjasama dalam pelbagai peringkat pembangunan vaksin seperti R&D, pertukaran saintis, pembangunan ‘fill and finish’ (pemindahan teknologi dan logistik, cold chain).

“Ini termasuk pembelian vaksin (produk akhir) sebagai jaminan akses bekalan vaksin untuk negara,” katanya pada sesi soal jawab lisan Sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) yang ingin tahu sama ada kementerian itu membuat sebarang pesanan untuk mengimport vaksin daripada firma negara China seperti Cansino, Sinovac dan Sinopharm atau firma United Kingdom seperti AstraZeneca.

Beliau juga bertanya sama ada kementerian bercadang menetapkan susunan keutamaan vaksinasi Covid-19 seperti yang dilakukan di Indonesia.

Khairy berkata, menerusi penyertaan dalam COVAX, Malaysia akan mendapat akses bekalan vaksin Covid-19 sebanyak 10% daripada populasi negara.

Dan kerajaan sedang berusaha mendapatkan 60% lagi untuk mencukupkan sasaran imunisasi kebangsaan bagi tujuan imuniti kelompok hingga 70% jumlah populasi negara, katanya.

Beliau menambah, kerajaan juga sedang berusaha mendapatkan akses vaksin seawal suku pertama atau suku kedua tahun depan bergantung pada kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Kata beliau lagi, NPRA akan memastikan sesuatu vaksin melepasi syarat ketat yang ditetapkan merangkumi soal keselamatan dan keberkesanan menerusi data ujian klinikal yang dijalankan dan hanya selepas melalui proses itu, sesuatu vaksin akan diluluskan dan keputusan untuk tempahan akan dibuat.

Sementara itu, mengenai senarai keutamaan imunisasi, Khairy berkata, Jawatankuasa Khas Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang ditubuhkan pada 14 Oktober lalu bersetuju membahagikan kepada tiga fasa keutamaan.

Fasa pertama ialah kumpulan barisan hadapan melibatkan kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) dan agensi bukan KKM seperti polis, tentera, Jabatan Imigresen dan lain-lain.

Fasa kedua, kata Khairy adalah untuk kumpulan berisiko tinggi seperti individu yang mempunyai co-mobid dan warga emas dan kumpulan ketiga, melibatkan populasi dewasa yang lain.

Beliau berkata, perincian lanjut kumpulan itu sedang dibuat dan dijangka diumumkan seawal suku pertama tahun depan. – SM

(Visited 166 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button