Nasional

Dego Ride: Kerajaan perlu adil, penunggang wajib ada lesen PSV

PENUNGGANG teksi motosikal Dego Ride juga perlu diwajibkan untuk mengambil Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) kerana perkhidmatan itu juga termasuk dalam kategori pengangkutan awam.

Malah Gabungan Teksi SeMalaysia mendesak agar Kementerian Pengangkutan agar motosikal yang digunakan untuk perkhidmatan teksi motosikal juga diwajibkan jalani pemeriksaan awalan dan berkala  seperti mana perkhidmatan e-hailing yang lain.

Presiden Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM), Kamaruddin Mohd Hussain berkata, syarat tersebut perlu dilaksanakan untuk membuktikan kerajaan PH melaksanakan undang-undang yang adil dan saksama kepada semua masyarakat.

“Walaupun secara tidak langsung ia menjejaskan pendapatan pemandu teksi, kita tetap terima.

“Cuma, pelaksanaan itu biarlah adil, jangan ada yang mempunyai agenda dan kepentingan poket sendiri, maksudnya banyak perkara diberikan kelonggaran,” kata Kamaruddin.

Semalam Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melancarkan perkhidmatan Dego Ride yang telah diharamkan pada Januari 2017 oleh kerajaan terdahulu atas alasan keselamatan penumpang.

Tahun lepas, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata Putrajaya tidak berhasrat untuk membenarkan perkhidmatan itu.

Ini kerana kemungkinan penunggang terbabit dalam kemalangan adalah 42.5 kali lebih tinggi berbanding bas dan 16 kali lebih tinggi berbanding kereta.

Bagaimanapun, Kabinet pada Ogos lalu bersetuju memperkenalkan perkhidmatan perkongsian motosikal di Malaysia.

Seramai 5,000 anak muda disasarkan untuk memberikan perkhimatan teksi motosikal dengan pendapatan antara RM1,500 hingga RM3,000 sebulan.

Pengasas Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj berkata setakat semalam, 4,000 orang sudah memohon untuk menjadi penunggang dengan 100 orang daripadanya merupakan penunggang wanita.

Dego Ride yang beroperasi menggunakan aplikasi maya ketika diperkenalkan amat popular dalam kalangan warga kota sebagai alternatif murah serta pantas untuk mengatasi masalah kesesakan di ibu negara.

Perkhidmatan itu yang menyamai “Gojek” di Indonesia dan “motorsai rap chang” di Thailand menawarkan tambang serendah RM2.50 untuk perjalanan sejauh tiga kilometer dan tambahan RM0.60 bagi setiap satu kilometer berikutnya.-SM

 

 

 

 

 

 

 

 

 

(Visited 371 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button