Politik

Guan Eng mahu korbankan jawatan menteri jika jadi punca Melayu tolak PH

PENGARAH Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad mendedahkan Setiausaha DAP Lim Guan Eng sanggup kehilangan jawatan menteri jika dilihat menjadi punca orang Melayu menolak PH

Dalam ucapannya pada Majlis Temu Rapat Aktivitis PH Shah Alam di Dewan Meranti Seksyen 19 malam tadi, Khalid berkata, Guan Eng bersetuju digugurkan daripada jawatan Menteri Kewangan demi menarik sokongan orang Melayu kepada PH.

Jelas Khalid, pendirian Guan Eng itu turut dimaklumkan ketika melakukan rundingan agar Dr Mahathir dicalonkan semula sebagai Perdana Menteri bagi undian kali kedua untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“DAP kata ‘tak apa Tun, oleh kerana kami, orang Melayu tak boleh terima, kurangkan jumlah menteri DAP pun tak apa’.

“Lim Guan Eng sendiri kata, ‘kalau saya digunakan sebagai alasan orang Melayu tak boleh terima Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan, saya tak jadi menteri kewangan pun tak apa’.

“Ini politik yang sepatutnya kita bangga. Letakkan negara sebagai yang pertama, rakyat yang terpenting,” kata Khalid seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian hari ini.

Pakatan Harapan kehilangan kuasa pada 24 Februari lalu apabila Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin mengumumkan parti itu tidak lagi bersama-sama dengan Pakatan Harapan.

Pada hari yang sama 11 Ahli Parlimen PKR termasuk Timbalan Pengerusi parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengistiharkan keluar daripada PKR dan menjadi ahli Parlimen bebas.

Tidak cukup dengan itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri sekaligus menyebabkan Kabinet Pakatan Harapan terbubar.

Sementara itu, dalam ucapannya, Khalid turut menasihatkan ahli parti komponen Pakatan Harapan (PH) agar tidak saling menuding jari berhubung punca PH kehilangan kuasa sebagai kerajaan.

Khalid berkata, Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersalah dalam perkara tersebut.

“Kita dijatuhkan bukan oleh rakyat tetapi oleh pengkhianat dan penyamun,” katanya.-SM

.

 

(Visited 263 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button