Berita

Dedah Rasuah Sabah, ‘Albert’ Buat Laporan Polis Bimbang Nasib Seperti Pamela Ling

PEMBERI maklumat yang dikenali sebagai “Albert” hari ini membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan dirinya selepas mendedahkan dakwaan skandal rasuah di Sabah.

Albert, 36 tahun, merujuk kepada kes penculikan Pamela Ling baru-baru ini yang turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pasukan guamannya yang turut dianggotai bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, menyatakan bahawa Albert pernah menerima ugutan bunuh sebelum ini dan melihat ada persamaan membimbangkan dengan kes penculikan Ling yang masih belum terungkai.

Albert membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pagi tadi. Beliau hadir memakai pelitup muka bagi melindungi identitinya dan ditemani oleh peguamnya, Latheefa Koya.

Menurut Latheefa, anak guamnya itu tidak menerima sebarang perlindungan daripada pihak berkuasa selepas mendedahkan kes rasuah melibatkan pemimpin utama negeri Sabah.

“Albert membuat laporan polis demi keselamatannya selepas apa yang berlaku kepada Ling, yang diculik baru-baru ini dan hingga kini masih belum ditemui.

“Perkara ini sangat menakutkan. Apa kaitannya… kaitannya ialah dia juga telah ke SPRM untuk memberikan keterangan, bukan sekali, bukan dua kali, tetapi berkali-kali.

“Kami tidak mahu mengulas siasatan terhadap Ling atau suaminya, tetapi kami ingin tekankan persamaan dari segi aspek keselamatan,” katanya kepada media.

Diculik dari Kereta Grab

Albert merupakan individu yang membongkar dakwaan rasuah melibatkan ahli politik dan pemimpin kerajaan negeri Sabah sehingga membawa kepada siasatan oleh SPRM.

Pada hari Selasa, seorang lagi peguam Albert, Mahajoth Singh, turut menggesa agar anak guamnya diberikan perlindungan.

Mahajoth menjelaskan kebimbangan itu timbul selepas Ling diculik dari sebuah kereta Grab ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 9 April oleh individu yang didakwa memakai pakaian seragam polis.

Namun insiden itu hanya diketahui umum pada 2 Mei.

Siasatan Video Rasuah

Pada 29 Mei, SPRM memaklumkan bahawa mereka menjangka laporan forensik berkaitan video rasuah melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dalam isu pelesenan perlombongan mineral akan diperoleh dalam masa seminggu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, agensi itu telah meneliti kesemua 10 klip video berkenaan secara menyeluruh.

Pada 29 April, Albert telah menyerahkan sebuah telefon mengandungi mesej WhatsApp berkaitan kes tersebut dan hampir 300 muka surat bukti kepada SPRM.

Terima Ugutan Bunuh

Latheefa turut mendedahkan bahawa Albert telah menerima ugutan daripada pihak tidak dikenali selepas pendedahan itu dibuat.

Beliau berkata, walaupun Albert telah membuat laporan polis pada November tahun lalu selepas menerima ugutan bunuh, tiada tindakan susulan diambil.

“Dia menerima ugutan bunuh pada November (tahun lalu), dan membuat laporan polis selepas menerima gambar bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, yang telah dibunuh.

“Itu merupakan mesej tidak langsung sebagai satu ancaman,” katanya lagi.

Sebelum ini tular satu vedio di Youtube dan portal media mendedahkan tentang skandal rasuah di Sabah dalam satu wawancara bersama bekas bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim.

Kreadit Malaysia Kini.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button