Nasional

Jawatan Perdana Menteri hanya dua penggal

KERAJAAN di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mencadangkan pindaan Perlembagaan di Parlimen supaya mengehadkan  tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun sahaja.

Jika pindaan itu diluluskan oleh Parlimen yang akan kembali bersidang pada Isnin ini bermakna setiap individu hanya boleh menjawat jawatan itu tempoh maksimum dua penggal sahaja.

Cadangan ini merupakan salah satu daripada tujuh perkara Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan untuk mengembalikan kestabilan politik demi menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara yang diumumkan Perdana Menteri petang tadi.

Ismail Sabri berkatam, ini selaras dengan titah nasihat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu tentang peri pentingnya sebuah pentadbiran yang stabil dan dapat berfungsi secara biasa dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis.

“Kerajaan berpandangan fokus dan keutamaan yang perlu diberikan oleh semua pihak pada ketika ini adalah terhadap kestabilan politik dan pentadbiran negara dalam memerangi Covid-19 serta pemulihan ekonomi.

“Tawaran ini juga bertujuan mewujudkan lanskap politik baharu dengan melaksanakan transformasi dan  pembaharuan dalam tatakelola pentadbiran kerajaan khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen.

“Pada masa yang sama, kerajaan komited untuk memperkenalkan lebih banyak transformasi dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain menghadkan jawatan Perdana Menteri,  enam lagi perkara dalam transformasi itu ialah:

  • Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.
  •  Pelaksanaan Undi18 dalam tempoh terdekat. Justeru, satu Rang UndangUndang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan.
  • Keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan Ahli Parlimen Kerajaan dan Ahli Parlimen Pembangkang.
  • Setiap Rang Undang-Undang termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama.
  • Ahli parti pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan.
  • Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.
(Visited 214 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button