Luar Negara

Debaran 117 rakyat Malaysia di Wuhan

BILAKAH agaknya 141 orang terdiri daripada 117 rakyat Malaysia akan dibawa pulang dari Wuhan, China ke tanah air?

Kalau boleh, mereka yang terperangkap di Wuhan mahu pulang ke tanah air seberapa segera, mungkin esok – kalau boleh.

Sejumlah 117 rakyat Malaysia dan 24 bukan warganegara yang terperangkap di provinsi menularnya coronavirus dikatakan akan dibawa pulang menaiki pesawat khas dari Wuhan.

Memetik laporan Bernama, usaha untuk membawa pulang rakyat negara ini disahkan oleh Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin melalui satu kenyataannya malam tadi.

Nushirwan memaklumkan 141 orang, terdiri daripada 117 rakyat Malaysia dan 24 bukan warganegara yang merupakan pasangan serta anak-anak mereka akan dibawa pulang menaiki pesawat khas dari Wuhan.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail menyatakan, seramai 132 orang akan dibawa pulang dengan penerbangan khas dari Wuhan, China, esok.

Dr. Wan Azizah berkata, tertakluk kepada kelulusan Kerajaan China, mereka yang akan dibawa pulang hanyalah yang didapati sihat untuk menaiki pesawat.

Beliau melalui satu kenyataannya hari ini menjelaskan, mereka yang akan dibawa pulang ke tanah air mestilah dalam keadaan sihat selepas menjalani tapisan kesihatan yang ditetapkan oleh Kerajaan China di Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan, Tianhe.

Sementara itu, Nushirwan berkata, sudah tiba masanya pasukan petugas dari Kedutaan Besar Malaysia di Beijing memulakan operasi bilik sekretariat di bandar Wuhan.

Katanya, penubuhan pasukan petugas itu adalah untuk membantu proses penghantaran pulang rakyat Malaysia susulan penularan wabak 2019 novel koronavirus (2019-nCoV) di negara itu.

Nushirwan berkata, tugasan pasukan itu hari ini ialah terus mengemas kini maklumat-maklumat logistik dan tindakan bagi membawa pulang rakyat Malaysia di Wuhan.

“Usaha-usaha dan perbincangan lanjut juga dibuat bersama-sama dengan Kerajaan China dan kerajaan tempatan Wilayah Hubei bagi memastikan kelancaran proses tersebut,” katanya.

Katanya lagi, setakat ini, rakyat Malaysia di Wuhan telah memberi maklum balas dan kerjasama yang baik.

Selain daripada itu, ujarnya, pasukan tersebut turut mendapat sokongan daripada Kerajaan China dan kerajaan tempatan Wilayah Hubei bagi menggerakkan rakyat Malaysia di Wuhan. – SM

(Visited 53 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button