Nasional

Covid: Jangan putus asa, usaha bersama sudah tunjuk kejayaan – Muhyiddin

Rakyat Malaysia diminta untuk tidak berputus asa dalam berhadapan dengan kemelut yang dicetuskan virus maut Covid-19.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin berkata, usaha bersama yang digerakkan oleh rakyat Malaysia telah pun menunjukkan kejayaan.

Sempena Hari Malaysia yang disambut hari ini, bekas Perdana Menteri itu meminta semua pihak agar melakukan yang terbaik buat negara.

“Berikrarlah pada diri sendiri, bahawa kita akan melakukan yang terbaik untuk Malaysia walau betapa getir cabaran yang kita tempuhi ketika pandemik ini.

“Jangan kita sesakali berputus asa kerana usaha kita bersama setakat ini sudah mula membuahkan hasil dan menunjukkan kejayaan.

“Marilah bersama-sama melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan bahawa hari-hari yang mendatang adalah lebih baik untuk Malaysia yang kita cintai ini, InsyaAllah.
Selamat Hari Malaysia!” kata Muhyiddin.

Ahli Parlimen Pagoh itu yakin perpaduan rakyat akan memberikan kejayaan kepada negara untuk keluar dari kemelut yang dicetuskan oleh Covid-19.

Justeru beliau menyeru semua anak-anak Malaysia untuk terus menggembleng usaha, membulat tekad dan bersatu hati untuk menyumbang sehabis baik agar Malaysia kekal aman, makmur dan sejahtera.

“Walaupun kita masih berhadapan dengan kemelut pandemik COVID-19, saya yakin dan percaya berbekalkan semangat perpaduan yang jitu dan usaha bersama rakyat Malaysia, kita akan berjaya keluar dari kemelut ini dengan selamat dan teratur.

“Bersama-samalah kita jadikan tarikh 16 September ini sebagai pemangkin dan titik permulaan bagi kerjasama lebih erat antara kita sebagai satu #KeluargaMalaysia bagi membantu proses pemulihan negara baik dalam aspek ekonomi mahupun sosial.

“Pupuk dan semaikan semangat cintakan negara dalam diri setiap daripada kita. Wujudkanlah Malaysia yang prihatin, Malaysia yang cekal, Malaysia yang gagah,” pesan Muhyiddin.-SM

 

(Visited 236 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button