Berita

DBP sokong pindaan akta

Dewan Bahasa dan Pustaka menghargai ucapan penggulungan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, Naib Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, dalam Perhimpunan Agung UMNO yang mencadangkan kerajaan agar meminda Akta DBP untuk membolehkan penguatkuasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, termasuk di Pihak Berkuasa Tempatan.

Datuk Seri Prof. Dr. Awang Sariyan
Pengerusi Lembaga Pengelola DBP
(Merangkap Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM) berkata, DBP telah mengemukakan pindaan Akta DBP dalam tiga perkara utama. Pertama, pemberian kuasa penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu dalam sektor yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan , khasnya Perkara 152(6) yang memperuntukkan penggunaan bahasa Melayu dalam pentadbiran kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam.

Kedua, peruntukan yang membolehkan DBP mengembangkan bahasa dan persuratan Melayu di peringkat antarabangsa secara yang berasaskan undang-undang sah walupun DBP sejak tahun 1980-an telah melaksanakan pengembangan bahasa dan persuratan Melayu di peringkat dunia. Pindaan aspek pengantarabangsaan juga berkaitan rapat dengan kelulusan Jemaah Menteri menubuhkan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) pada tahun 1997, dengan DBP sebagai Urus Setianya.

Pindaan ketiga berkaitan dengan peruntukan yang membolehkan DBP menubuhkan perbadanan agar fungsi perniagaan DBP dapat digerakkan dengan lebih berkesan. Sebagai badan berkanun, DBP hanya menerima peruntukan emolumen daripada kerajaan dan perlu menjanakan pendapatan untuk melaksanakan program perancangan bahasa, persuratan dan penerbitan. Dengan kelulusan pindaan itu, DBP dapat menyumbang kepada kerajaan dalam aspek kewangan negara.

“DBP yakin bahawa iltizam kerajaan dalam usaha mengangkat bahasa dan persuratan Melayu di peringkat negara dan antarabangsa menjadi asas penting pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan sebagai salah satu dasar utama negara. Di samping itu, kesungguhan Perdana Menteri untuk melaksanakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa urusan rasmi di peringkat antarabangsa dapat meningkatkan imej dan maruah negara di mata dunia. Semoga iltizam Perdana Menteri disertai oleh semua pemimpin lain,” katanya.

(Visited 230 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button