Nasional

Jenazah bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas selamat dikebumikan

JENAZAH bekas Ketua Hakim Negara Tun Dr. Mohamed Salleh Abas selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim di Jalan Pusara, Terengganu, pukul 10.40 pagi tadi.

Jenazah Allahyarham Mohamed Salleh, 91, yang juga Pengerusi as-Salihin Trustee Berhad tiba di tanah perkuburan tersebut pada pukul 10.15 pagi dan proses pengebumian dikendalikan kira-kira 10 petugas Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu yang lengkap berpakaian pelindung diri (PPE).

Bagaimanapun, ahli keluarga dan pihak media tidak dibenarkan berada di dalam kawasan perkuburan tersebut.

Menantu Allahyarham, Wan Pauzi Yahya berkata, Allahyarham dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada Khamis lalu setelah didapati positif Covid-19 dan disahkan meninggal dunia pada 3.20 pagi tadi akibat pneumonia.

“Ketika berada di hospital, kami anak dan menantu masih dapat bercakap dengan Allahyarham dan beliau belum lagi dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Kami juga diberitahu Allahyarham mempunyai masalah pernafasan, tekanan darah rendah dan pelbagai masalah lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai urusan pengebumian.

Wan Pauzi berkata, bapa mertuanya itu terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan malam tadi.

Katanya, jenazah Allahyarham dikebumikan bersebelahan kubur isteri pertamanya, Allahyarhamah Toh Puan Azimah Mohd. Ali yang meninggal dunia pada 2016 seperti yang pernah diwasiatkan Allahyarham.

Allahyarham Mohamed Salleh meninggalkan isteri Toh Puan Junaidah Wan Jusoh dan lima anak serta 26 cucu.

Pada 1984, Mohamed Salleh dilantik menjadi ‘Lord President’ (kini Ketua Hakim Negara) di Mahkamah Agung (kini Mahkamah Persekutuan) sebelum dipecat semasa krisis Perlembagaan pada 1988.

Allahyarham juga merupakan seorang daripada tokoh yang membantu mendraf Rukun Negara pada 1970.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-10 pada 1999, Allahyarham menang atas tiket PAS di Dewan Undangan Negeri Jertih bagaimanapun atas faktor kesihatan Mohamed Salleh tidak bertanding pada PRU Ke 11 pada 2004.

Dalam pada itu Wan Pauzi berkata, ahli keluarganya berharap agar mana-mana pihak termasuk Kerajaan Negeri Terengganu mengambil inisiatif memelihara dokumen termasuk buku-buku yang ditulisnya serta gambar-gambar peninggalan Allahyarham dapat dijadikan khazanah untuk tatapan generasi akan datang. – SUMBER BERNAMA – SM

(Visited 369 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button