NasionalParlimen

KKM maklum punyai pelan vaksinasi Covid-19

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan mempunyai pelan vaksinasi bagi wabak Koronavirus (Covid-19) sekiranya ia bersedia untuk digunakan secara umum.

Berdasarkan laporan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terdapat 202 vaksin sudahpun dihasilkan, namun hanya 47 daripadanya sedang melalui ujian peringkat klnikal.

Daripada 47 itu juga, hanya 10 sahaja yang berada dalam ujian fasa ketiga sebelum ia bersedia untuk digunakan secara meluas.

Bagaimanapun, KKM menetapkan dasar pengambilan vaksin mestilah menepati dasar negara yang menetapkan tiga ciri sebelum ia dibenarkan diambil iaitu keselamatan, keberkesanan dan kualiti.

“KKM telah pun mempunyai pelan vaksinasi Covid-19 yang khusus pada rakyat dan bersedia untuk melaksanakannya apabila vaksin yang berkualiti, berkesan dan selamat bersedia untuk digunakan.

“Walau bagaimanapun belum ada lagi vaksin yang telah melepasi peringkat klinikal fasa ketiga dan bersedia untuk didaftarkan untuk kegunaan orang ramai.

“Pada masa ini pihak KKM sedang meneliti vaksin yang sedang dibangunkan dengan berhati-hati agar vaksin yang akan digunakan di negara kita ini nanti adalah benar-benar mematuhi dasar program imunisasi kebangsaan iaitu berdasarkan tiga perkara keberkesanan, keselamatan dan kualiti.

“Oleh itu, penilaian vaksin dari sesi libat urus dengan pengeluar sudah dimulakan sejak Jun 2020.

“Pada masa ini tiada lagi vaksin yang telah melepasi ujian klinikal yang boleh dipertimbangkan untuk didaftarkan di Malaysia.”

Demikian penjelasan diberikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Adham, keutamaan terhadap petugas barisan hadapan dan kumpulan berisiko akan diberikan terlebih dahulu apabila vaksin diterima nanti.

Sebelum digunakan secara meluas oleh rakyat lain sehingga imuniti dicapai seperti yang disarankan.

Dalam masa sama, KKM turut menjangkakan gangguan bekalan terhadap vaksin bagi melawan Covid-19 berikutan permintaan yang tinggi terhadap peringkat global.

“KKM menjangkakan bahawa, permintaan global Covid-19 yang tinggi nanti akan memberi sedikit kesan kepada bekalan vaksin di negara kita.

“Sehubungan itu, pelaksanaan porgram vaksinasi Covid-19 nanti akan dilaksanakan secara berperingkat dengan mengutamakan kumpulan berisiko tinggi yang mendapat jangkitan,” ujarnya. – SM

(Visited 107 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button