Bola SepakSukan

Datuk Ong Kim Swee Pengarah Teknikal FAM baharu

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM), semalam mengumumkan secara rasmi bekas pemain dan jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee dilantik sebagai pengarah teknikalnya yang baharu berkuat kuasa pada 1 Januari 2021.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan badan induk bola sepak negara itu, Kim Swee, 50, diberi tugas untuk menggalas jawatan Pengarah Teknikal FAM bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Peter de Roo.

Bekas pemain tengah Melaka, Sarawak dan Sabah pada era 1990-an itu sebelum ini memegang jawatan sebagai Penolong Pengarah Teknikal FAM merangkap Ketua Unit Belia FAM.

Kim Swee memulakan karier kejurulatihannya dengan menjadi ketua jurulatih Melaka sebelum namanya melonjak sebagai jurulatih yang berjaya mencungkil bakat-bakat muda negara bermula sebagai jurulatih di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan seterusnya menjadi peneraju utama skuad Harimau Muda.

Kemuncak karier beliau ialah apabila berjaya membawa skuad B-23 kebangsaan meraih pingat emas Sukan SEA 2011 di Jakarta, Indonesia dan disusuli pingat perak Sukan SEA 2017 di laman sendiri, selain turut mengemudi pasukan muda negara melakar sejarah mara ke suku akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 di China dan layak ke peringkat kalah mati Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Beliau turut pernah dilantik sebagai pengendali sementara skuad kebangsaan sebanyak dua kali iaitu dari 3 Februari 2014 hingga 28 Jun 2014 selepas kontrak Datuk K Rajagobal sebagai ketua jurulatih kebangsaan tamat, manakala daripada 5 September 2015 hingga 18 Januari 2016 Kim Swee sekali menggalas peranan sama selepas Dollah Salleh meletak jawatan.

Kim Swee kemudian akhirnya dilantik secara penuh sebagai ketua jurulatih kebangsaan dari 18 Januari 2016 hingga 25 Mac 2017 dan selepas itu, beliau diamanahkan pula untuk mengendalikan skuad B-22 negara bagi menghadapi Sukan SEA 2017.

Dengan pengalaman luas tersebut, beliau sebagai pemain dan jurulatih di pelbagai peringkat, Kim Swee yang juga Timbalan Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) dilihat sebagai calon terbaik bagi mengisi jawatan Pengarah Teknikal FAM. – SM

(Visited 149 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button