Nasional

Datuk Bandar KL diberi 48 jam ketepi keputusan babitkan Crackhouse Comedy Club

PEGUAM yang bertindak bagi pihak pemilik Crackhouse Comedy Club akan memulakan tindakan undang-undang terhadap Datuk Bandar Kuala Lumpur, Mahadi Che Ngah melainkan beliau membatalkan pembatalan lesen operasi kelab dan penyenaraian hitam pemilik daripada mendaftar perniagaan lain.

Semalam, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Jalaluddin Alias berkata, Jawatankuasa Pelesenan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermesyuarat pada 29 Julai lalu dan bersetuju membatalkan lesen perniagaan kelab komedi berkenaan berkuat kuasa 30 Julai dan pemilik bersama juga tidak lagi boleh mendaftarkan sebarang perniagaan di Kuala Lumpur walaupun di bawah nama dan syarikat berlainan.

Dalam surat tuntutan kepada Mahadi, peguam dari tetuan Karpal Singh and Co berkata, mereka akan memulakan tindakan undang-undang untuk mengetepikan keputusan jika tiada jawapan daripadanya dalam tempoh 48 jam, menurut laporan FMT hari ini.

Menurut mereka, anak guam mereka tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai pembatalan lesen kelab dan penyenaraian hitam, sambil menambah bahawa mereka tidak pernah didapati bersalah atas sebarang kesalahan yang mewajarkan keputusan DBKL.

“Sekiranya perkara-perkara seperti yang dilaporkan di media massa secara luas yang dinyatakan di atas adalah benar, maka hak mencari rezeki anak-anak guam kami yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan akan terjejas dengan serius,” kata surat tersebut.

Peguam berkenaan turut menyifatkan keputusan DBKL sebagai “tidak munasabah” dan “tidak rasional”.

Peguam berkenaan turut menyifatkan keputusan DBKL sebagai “tidak munasabah” dan “tidak rasional”.

DBKL menggantung sementara operasi Crackhouse Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail mulai 10 Julai lalu kerana tidak mempunyai lesen hiburan sejak 2014 hingga 2017.

Pada 13 Julai lalu, Jalaluddin dilaporkan berkata, premis itu hanya memiliki lesen restoran dan minuman keras, tetapi bukannya lesen hiburan.

Pada hari sama, Siti Nuramira Abdullah, 26, yang menanggalkan baju kurung dan tudungnya di kelab komedi itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyebabkan suasana tidak harmoni menggunakan agama dalam kalangan umat Islam di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Teman lelakinya yang juga penulis bebas, Alexander Navin Vijayachandran turut didakwa di mahkamah berasingan pada hari sama atas tuduhan memuat naik kandungan jelik di media sosial.

Susulan itu, pengasas bersama kelab komedi itu, Rizal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan memuat naik video di tiga platform media sosialnya yang menyentuh isu sensitiviti perkauman pada 22 Julai lalu. – FMT

(Visited 191 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button