Nasional

Datuk Abdul Ghani Salleh dilantik Pengerusi SPR baharu

Bekas Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh dilantik sebagai Pengerusi SPR yang baharu berkuatkuasa hari ini (21 Ogos).

Pengumuman itu dibuat Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

“Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan pelantikan Abdul Ghani.

Selain Abdul Ghani, turut dilantik menjadi Ahli SPR berkuatkuasa pada tarikh sama ialah bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Nik Ali Mat Yunus
BACA> Kluster baharu Covid-19 dikesan di Kuala Lumpur

“Dengan kelayakan dan pengalaman yang dimiliki, diyakini mereka akan dapat menggalas amanah dan tanggungjawab sebagai Pengerusi dan Ahli SPR mengikut kehendak Perlembagaan Persekutuan dengan sempurna.

“Kerajaan ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Azhar Azizan Harun dan Datuk Seri Ramlan Ibrahim atas khidmat bakti sepanjang menjawat jawatan masing-masing sebagai Pengerusi dan Ahli SPR,” jelasnya.

Abdul Ghani dilahirkan pada 10 Mei 1958 di Kuala Kurau, Perak berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengurusan dan Pemasaran daripada Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sepanjang perkhidmatan, beliau telah memegang beberapa jawatan antaranya Yang di-Pertua Majlis Daerah Kuala Langat, Pengarah Jabatan Perancangan Korporat dan Pembangunan Masyarakat, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Pegawai Daerah Gombak, Selangor.

Jawatan terakhir beliau sebelum bersara wajib pada 10 Mei 2018 adalah sebagai Setiausaha SPR.

Sementara itu, Nik Ali pula dilahirkan pada 19 Mei 1958 di Kelantan, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengajian Asia Tenggara daripada Universiti Malaya pada tahun 1981 dan Ijazah Sarjana daripada University of Hull, United Kingdom pada tahun 1991.

BACA> Dadah: Enam individu termasuk 4 wanita Thailand ditahan

Beliau pernah memegang beberapa jawatan antaranya sebagai Penolong Pengarah di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Pengerusi Eksekutif, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Pengarah, Unit Pemulihan Pasca Banjir, Jabatan Perdana Menteri.

Jawatan terakhir beliau sebelum bersara wajib pada 19 Mei 2018 adalah sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Pengajian Tinggi. -SM

(Visited 556 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button