
Dato’ Sri Dr Irmohizam Ibrahim Dinobat Ikon Perniagaan Cemerlang Malaysia 2025
KUALA LUMPUR, 25 Jun 2025 — Dato’ Sri Dr Irmohizam Ibrahim, Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) dan Ahli Lembaga Pengarah World Trade Centers Association (WTCA), telah menerima pengiktirafan berprestij The Malaysia Outstanding Business Icon Excellence Award 2025 sempena The Malaysia Economic Forum 2025 yang berlangsung di Berjaya Times Square Hotel, semalam.
Penganugerahan tersebut telah disempurnakan oleh YAM Tunku Dato’ Seri Utama Naquiyuddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar sebagai menghargai sumbangan luar biasa beliau dalam memacu inovasi dan kepimpinan dalam industri Acara Perniagaan.
Forum ekonomi berkenaan, yang dianjurkan bersama oleh Economic Club of Kuala Lumpur (ECKL) dan KSI Strategic Institute for Asia Pacific (KSI), membawa tema “Navigating the Future: Pioneering Economic Resilience and Green Prosperity”, menghimpunkan tokoh terkemuka dari sektor kerajaan, korporat dan akademik bagi merangka strategi menangani ketidaktentuan ekonomi global.
Anugerah tersebut mengiktiraf para CEO, eksekutif C-suite dan tokoh perniagaan negara yang bukan sahaja mencapai kecemerlangan operasi, tetapi juga berperanan mengukuhkan industri Acara Perniagaan Malaysia sebagai hab rangkaian global dan inspirasi kepimpinan korporat masa depan.
Mengulas pencapaian itu, Dato’ Sri Dr Irmohizam berkata, “Anugerah ini bukan hanya pencapaian peribadi, malah merupakan cerminan usaha kolektif seluruh pasukan saya di WTCKL. Kami komited untuk terus memacu inovasi dan menggalakkan kolaborasi merentas pelbagai industri.”
WTCKL turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada beliau atas kejayaan berprestij ini, sambil menyatakan keyakinan bahawa Dato’ Sri Dr Irmohizam akan terus memainkan peranan penting dalam menjulang nama Malaysia di arena antarabangsa.