
“Datang Tak Diundang, Pergi Tak Dikesali” – UMNO Sindir Zafrul
MENTERI Perdagangan, Pelaburan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan peletakan jawatan daripada semua jawatan dalam UMNO, termasuk sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi dan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja.
Dalam kenyataan terbarunya, Tengku Zafrul turut menyatakan hasrat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), sekaligus membuka lembaran baharu dalam perjalanan politiknya.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika mengulas tindakan itu berkata, parti tidak tergugat dengan keputusan berkenaan. Malah, beliau menyifatkan tindakan Zafrul keluar parti sebagai sesuatu yang wajar jika tiada lagi kesetiaan.
“Eloklah keluar kalau tidak ada kesetiaan di dalam parti,” katanya ringkas.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh turut menyindir keputusan Zafrul dengan kenyataan pedas:
“Datang tidak diundang, pergi pun tidak dikesali.”
Beliau turut mencadangkan agar Zafrul melepaskan jawatan sebagai menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan jika benar mahu bersikap telus dalam pendiriannya.
Susulan perkembangan ini, UMNO telah mengarahkan Biro Undang-Undang parti meneliti kedudukan Tengku Zafrul dari sudut implikasi Akta Anti-Lompat Parti, khususnya status beliau sebagai Senator yang dilantik atas tiket UMNO.
Setakat ini, Tengku Zafrul masih kekal sebagai Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Artikle Berkaitan :>
Hebat, sekarang berhenti sebagai menteri, Akmal mendesak Tengku Zafrul