Teknologi

Data Telefon Bimbit Digunakan Bantu Rancang Dasar Negara

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini melaksanakan inisiatif baharu menggunakan data telefon bimbit (Mobile Phone Data – MPD) yang telah dinyahidentiti bagi membantu kerajaan merancang dasar dan mengumpul statistik negara dengan lebih pantas dan efisien.

Bekerjasama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi, inisiatif ini membolehkan data yang dulunya hanya dikumpul menerusi bancian atau soal selidik bersemuka, kini diperoleh dengan lebih cepat melalui penggunaan data sedia ada yang selamat dan tidak mendedahkan identiti pengguna.

Menurut MCMC, MPD mempunyai kelebihan dari segi kecekapan kerana ia mengurangkan keperluan kepada soal selidik yang panjang. Malah, responden hanya perlu menjawab sekitar 10 soalan sahaja berbanding lebih 30 soalan sebelum ini.

Apa yang lebih penting, data yang digunakan adalah sepenuhnya telah dinyahidentiti – tanpa sebarang maklumat peribadi seperti nama, nombor kad pengenalan, alamat atau lokasi individu. Data hanya dikaitkan dengan menara pemancar terdekat dan bukannya lokasi sebenar pengguna.

MCMC turut menegaskan bahawa mereka tidak menerima sebarang data mentah daripada syarikat telco. Semua data telah diproses dan dijamin patuh kepada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA).

Projek ini kini berada pada peringkat rintis yang dikendalikan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Ia akan diperluas selepas rangka kerja keselamatan data dan tadbir urus disiapkan sepenuhnya. Pihak DOSM juga bercadang untuk melaksanakan sesi libat urus awam selepas fasa rintis selesai.

Pendekatan MPD ini sejajar dengan amalan global yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dan Bank Dunia, dan kini digunakan di lebih 50 buah negara.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button