Uncategorized

Data kes harian Covid-19 tepat, disahkan

DATA Covid-19 yang dikeluarkan di negara ini dikendalikan mengikut prosedur-prosedur yang telah ditetapkan bagi memastikan data yang dilaporkan adalah tepat dan sahih.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, semua data kes Covid-19 dan laporan analisis harian yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan telah disahkan di pelbagai peringkat.

Beliau menjawab dakwaan segelintir pihak yang mengaitkan data Covid-19 yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan adalah palsu dan rekaan.

Dr. Adham menegaskan semua anggota kesihatan yang terlibat dalam pengurusan data di semua peringkat diwajibkan menjaga kerahsiaan data pesakit-pesakit Covid-19 yang dikumpulkan.

“Semua keputusan ujian yang dijalankan sama ada di klinik kesihatan kerajaan, hospital mahupun fasiliti perkhidmatan kesihatan swasta adalah wajib dimuat naik ke dalam Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA).

“Sistem ini sentiasa dipantau oleh kementerian melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Jabatan Kesihatan Negeri dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil.

“PKD bertanggungjawab untuk membuat siasatan, urusan kemasukan sama ada ke hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) atau dirawat di rumah berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan,” katanya dalam sidang akhbar perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di sini hari ini.

Dr. Adham berkata, Kementerian Kesihatan kini sentiasa berwaspada dengan peningkatan kes Covid-19 terutama di Sarawak, Kelantan dan Selangor.

“Justeru Kementerian Kesihatan mempergiatkan langkah-langkah menangani peningkatan ini seperti yang dirancang dalam Strategik Pengurusan Pandemik di bawah Kumpulan Kerja Sekuriti Kesihatan.

“Pelan ini merangka strategi yang perlu dilaksanakan dalam jangka pendek, sederhana dan panjang,” katanya.-SM

 

 

(Visited 75 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button