Politik

Darurat: Tidak wajar wujud kesangsian salahguna kuasa – Takiyuddin

TIDAK wajar wujud kesangsian atau syak wasangka berlakunya salahguna kuasa ketika pelaksanaan darurat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sistem Kerajaan masih berfungsi sebagaimana biasa.

Ini termasuk dalam aspek pemantauan pentadbiran melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.

“Semua pihak diseru supaya memberikan sepenuhnya kerjasama kepada Kerajaan dalam usaha giatnya memastikan survival hidup dan kehidupan rakyat melalui aspek-aspek kesihatan, ekonomi dan sosial,” kata Takiyuddin.

Takiyuddin berkata, Kerajaan mengambil maklum gesaan beberapa pihak termasuk parti Politik supaya membenarkan sidang Dewan Rakyat berlangsung.

Menurutnya, kerajaan memberi jaminan sidang Dewan Rakyat akan diadakan sebelum atau selepas darurat ditamatkan pada 1 Ogos nanti.

Bagaimanapun menurut Takiyuddin, pembukaan Parlimen bergantung kepada nasihat dan pandangan pakar yang akan diperolehi oleh Kerajaan terutama daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.

“Kerajaan amat menyedari tanggungjawab keperlembahaan untuk memastikan penerusan proses demokrasi di negara ini terjamin melalui sidang Parlimen.

“Namun keutamaan yang diberikan pada masa ini adalah usaha memastikan penularan wabak ini dapat dikawal sepenuhnya termasuklah melindungi aspek kesihatan ahli-ahli Parlimen, pegawai-pegawai dan semua pihak yang berurusan dengan Parlimen,” katanya.

Takiyuddin berkata, ketika ini langkah pengawalan dan pencegahan wabak merbahaya masih berterusan dengan seluruh jentera kerajaan memberi fokus terhadap tindakan imunisasi, rawatan, pengasingan dan juga pelan vaksinasi yang berterusan.

Penguatkuasaan daripada Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Imigresen, Rela dan pihak lain masih bertungkus lumus menjaga perbatasan negara dari dibolosi pendatang asing yang membawa risiko penularan Covid-19 dari negara luar.

“Semasa darurat berkuatkuasa semua pihak termasuk pembangkang masih boleh menyalurkan sebarang pandangan kepada Kerajaan melalui saluran-saluran yang dibenarkan termasuklah melalui Jawatankuasa Khas Bebas yang ditubuhkan di bawah Ordinan Darurat bagi menasihati yang di-pertuan Agong mengenai hal-hal berkaitan kuat kuasa darurat,” kata Takiyuddin.-SM

 

 

(Visited 90 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button