Nasional

Darurat: Parlimen perlu berfungsi, kabinet patut digantung

PENGUATKUASAAN Perintah Darurat yang dilaksanakan oleh kerajaan dibimbangi mengurangkan kebebasan kepada rakyat.

Malah, kerajaan juga boleh menarik balik hak kebebasan asasi rakyat dengan mengisytiharkan ordinan tertentu di bawah Perintah Darurat.

Perkara tersebut boleh berlaku apabila pindaan dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan pada 1963 untuk menggubal ordinan di bawah darurat sekiranya Perintah Darurat dilaksanakan.

Antara kesan yang dilihat kini adalah apabila kerajaan menggantung Parlimen yang sepatutnya boleh bersidang seperti dilakukan di negara-negara lain dengan membuat perubahan dan pembaharuan.

Perubahan yang dilakukan termasuklah mengurangkan kuorum Ahli Parlimen yang hadir, menetapkan waktu mesyuarat di luar kebiasaan serta menyiarkan prosiding kamar khas.


“Nasihat Peguam Cara Negara (SG) II, Datuk Siti Zainab Omar, secara langsungnya menghalang Ahli-Ahli Parlimen yang juga merupakan anggota jawatankuasa pilihan khas (JK) daripada menyiasat isu-isu tertentu secara mendalam.

“Atau daripada menjalankan peranan mereka untuk melaksanakan pemeriksaan dengan teliti.

“Dengan ini, Ahli-Ahli Parlimen yang menganggotai JK seperti saya tidak dapat berhubung secara rasmi dengan brikrat dan pakar teknikal mengenai isu-isu yang menyentuh hal ehwal rakyat.

“Tan Sri sudah pasti tahu bahawa JK memainkan peranan penting dalam petadbiran negara oleh sebab JK mengemukaan laporan megenai hasil penemuan-penemuan mereka dan kerajaan dijangka untuk memberikan respon terhadap saranan dan syor yang dibauat.”

Demikian kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said dalam satu perutusan kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun hari ini.

Dalam perutusan tersebut beliau menzahirkan rasa kesal apabila kerajaan memutuskan untuk menggantung Parlimen tanpa melakuan sebarang penambahbaikan di bawah Ordinan Darurat.

Tambahnya, Kuasa Eksekutif mempunyai kebebasan dalam memerintah selagi mana darurat terus bekuat kuasa. apabila fungsi Badan Perundangan dimandulkan.

“Apa yang lebih membimbangkan bagi demokrasi Parlimen Malaysia adalah bahawa setiap Darurat yang diisytihar atau ordinan yang digubal di bawah Perkara 150 ‘tidaklah boleh dicabar atau dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan’,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan supaya fungsi Parlimen dikembalikan seperti biasa, sebaliknya Kabinet perlu digantung dengan melantik Kabinet Darurat Khas.

“Berdasarkan perkara-perkara yang dinyatakan di atas dan memandangkan perisytiharan yang sedang berkuat kuasa, mungkin YBhg Tan Sri (Idrus) boleh mempertimbangkan menasihati penggantungan tugas-tugas Jemaah Menteri.

“Menggantikannya dengan perlantikan Kabinet Darurat Khas yang hanya terdiri daripada Kementerian-Kementerian yang relevan sahaja.

“Kabinet Darurat tersebut boleh dibenarkan untuk berfungsi dengan kuasa-kuasa yang terhad sehingga darurat dibatalkan.

“Pada masa yang sama, sebuah Jawatankuasa Parlimen Khas Bipartisan yang terdiri daripada Ahli-Ahli Parlimen dari pihak Kerajaan dan Pembangkang boleh dipengerusikan Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk antara lain mempertangungjawabkan menteri-menteri dan melaksanakan semak dan imbang yang amat diperlukan,” ujarnya. – SM

(Visited 179 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button