Politik

Darurat: Kit Siang saran Agong dapatkan pandangan Kehakiman

AHLI Parlimen DAP Lim Kit Siang menyarankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mendapatkan pandangan pihak Kehakiman mengenai pelaksanaan darurat.

Kit Siang yang merupakan Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, Al-Sultan Abdullah mungkin patut mendapatkan pendapat sama ada Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan membenarkan darurat dan penggantungan Parlimen untuk menyesaikan masalah perdana menteri.

“Mungkin Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong patut mendapatkan pendapat pihak Kehakiman, sama ada Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan membenarkan perisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen bagi membolehkan Perdana Menteri untuk menyelesaikan masalah politik beliau,” kata Kit Siang.

Menurut Kit Siang, sehinga semalam tidak ada mana-mana pihak membincangkan mengenai Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan mengenai Proklamasi Darurat sebagai penyelesaian wabak Covid-19.

Beliau mendakwa, hanya perdana menteri yang paling terdesak dan lemah sahaja yang akan terfikir untuk menggunakan peruntukan Perkara 150 untuk mengisytiharkan darurat bagi melawan wabak Covid-19.

“Adakah Proklamasi Darurat ini akan hanya digunapakai di Sabah?

“Bagaimanakah perisytiharan darurat ini wajar untuk dilaksanakan di Sarawak, Melaka, Johor, Putrajaya, Terengganu, Kelantan, Pahang, dan Perlis sedangkan ke semua negeri-negeri ini mencatatkan kurang daripada 100 kes aktif Covid-19?

“Adakah kerajaan telah hilang kawalan terhadap wabak Covid-19 di Kedah, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Perak, dan Negeri Sembilan sehingga ia merasakan wajar untuk mengisytiharkan darurat di bawah peruntukan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan di negeri-negeri ini?” tanya Kit Siang.

Kit Siang menyarankan kerajaan perlu membentuk satu kempen dan pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam menangani gelombang ketiga wabak Covid-19.

Media sebelum ini melaporkan bahawa kerajaan akan melaksanakan darurat. Perdana Menteri dilaporkan telah menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Abdulaziz, Indera Mahkota, Kuantan petang semalam.

Spekulasi bertiup kencang bahawa Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan perkenan untuk melaksanakan darurat.

Bagaimanapun sehingga kini tidak ada apa-apa kenyataan rasmi daripada Perdana Menteri mahupun dari Pejabat Perdana Menteri mengenai isu tersebut.

Malah tidak ada mana-mana Ahli Jemaah Menteri yang mengesahkan atau menafikan apa yang dilaporkan oleh media dan juga spekulasi yang dicetuskan oleh Ahli Parlimen Pembangkang.

(Visited 336 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button