Hiburan

Daripada runner terus loncat ke penerbit

MAHU meraih pengalaman dari bawah hingga sanggup menjadi seorang runner (jurugegas) kepada sebuah syarikat poduksi sebelum menjadi penerbit.

Pengalaman yang dikutip kira-kira empat tahun lalu bagi Mohd. Hafizuddin sangat bermakna sebelum menginjak langkah besarnya untuk menerbitkan telefilem sendiri.

“Saya memang minat dengan kerja-kerja produksi drama serta filem dan itu seab saya ambil langkah kecil dahulu untuk menjadi seorang jurugegas.

“Hampir empat telefilem juga saya terlibat sebagai jurugegas dan bila ada keyakinan, baru saya injak langkah sebagai penerbit pula,” katanya yang juga pemilik syarikat Khalisya Consultant Sdn. Bhd.

Menurutnya, keyakinan untuk menerbitkan telefilem pertamanya yang berjudul Rock Sampai Jannah bermula selepas mendapat dorongan rakannya, Jaja Ishak.

Jelas Hafizuddin, dia bersyukur dan gembira kerana telah diberi peluang oleh RTM untuk menghasilkan sebuah naskhah telefilem berjudul Rock Sampai Jannah sempena sambutan Aidil Adha pada tahun hadapan.

“Mengikut perancangan penggambaran akan bermula pada bulan Ogos atau September walaupun Covid-19 masih lagi melanda negara.

“Sebagai seorang penerbit baharu, saya anggap ini merupakan satu cabaran untuk menjalani penggambaran. Bagaimanapun, semua persediaan telah dibuat, terutama sekali untuk mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan,” jelasnya.

Rock Sampai Jannah mengisahkan tentang empat orang remaja yang meninati bidang muzik dan menanam impian untuk membentuk sebuah kumpulan rock.

Namun begitu, keluarga keempat-empatnya tidak bersetuju kerana masing-masing masih lagi bersekolah. Selain itu, mereka juga sering kalah dalam setiap pertandingan nyanyian yang disertai.

Telefilem berkenaan menampilkan barisan pelakon seperti Afiq Syazwan, Sharul Kamal, Ayie Floor88 dan Hareez Mohamad Suhaile. –SM

(Visited 389 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button