Nasional

Aktivis Martin Khor meninggal dunia akibat kanser

SETELAH pemergian pejuang hak pengguna terkenal, SM Mohamed Idris pada 17 Mei tahun lalu, negara sekali lagi dikejutkan dengan kehilangan seorang aktivis masyarakat, Martin Khor yang meninggal dunia akibat kanser di Pulau Pinang pagi ini.

Mendiang yang merupakan Setiausaha Kehormat Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Penasihat Third World Network berumur 69 tahun.

Ahli Majlis Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan bekas Pengarah Eksekutif South Centre, sebuah pertubuhan berpusat di Geneva mewakili kepentingan 53 negara membangun itu meninggalkan seorang balu dan anak perempuan.

“Mendiang pernah berkhidmat sebagai Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Dasar Pembangunan; Pasukan Petugas Sekretariat PBB mengenai Alam Sekitar dan Pembangunan serta Naib Pengerusi Kumpulan Pakar mengenai Hak Untuk Pembangunan dalam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB.

“Kami di CAP, pengguna-pengguna di Malaysia dan di Selatan global telah kehilangan pemimpin dan aktivis karismatik, Martin Khor dalam memperjuangkan hak kita semua,” kata Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader dalam satu kenyataan kepada Suara Merdeka.

Mengulas lanjut, Mohideen berkata, Martin adalah salah seorang aktivis dan intelektual terbaik CAP yang bekerja tanpa mengenal penat dalam meperjuangkan nasib penduduk yang memerlukan pembelaan di dalam dan luar negara.

“Mendiang akan diingati atas sumbangannya kepada komuniti miskin di Malaysia termasuk Kuala Juru, Thean Teik Estate dan perjuangan menentang Asia Rare Earth serta pemberhentian projek mega di Bukit Bendera.

“Martin adalah seorang intelektual yang penjelasannya mengenai isu-isu masyarakat dan alam sekitar mudah difahami orang ramai.

“Beliau bekerja tanpa mengenal penat, berjuang untuk ekonomi yang adil dan saksama. Semangat mendiang ini membawanya sanggup meninggalkan tugas sebagai penjawat awam di Kementerian Kewangan Singapura,” kata Mohideen dalam satu kenyataan hari ini.

Martin telah memainkan peranan penting dalam pembangunan CAP bersama Allahyarham S M Mohamed.

Di bawah pimpinan mereka, CAP menjadi salah sebuah kumpulan pengguna yang aktif sehingga menjadi model kepada pertubuhan pengguna di negara-negara membangun.

“Mendiang Martin merupakan mentor kepada ramai aktivis di seluruh dunia yang telah berpeluang bekerja dengannya.

“Komuniti global di Selatan akan mengingati beliau untuk kerja-kerja amalnya dalam mewakili dan menyatakan pandangan dari Selatan berhubung perdagangan tidak adil dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia.

“Martin juga berada di barisan hadapan di peringkat global dalam rundingan perubahan iklim, mewakili pandangan negara-negara membangun dan negara-negara Selatan.

“Rintangan antibiotik, akses kepada ubat-ubatan dan penggunaan ubat-ubatan secara rasional adalah isu-isu terkini yang beliau perjuangkan,” kata Mohideen.

Tambah beliau lagi, Martin adalah seorang ahli ekonomi yang terlatih di Universiti Cambridge dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Mendiang juga menghasilkan banyak buku dan artikel mengenai ekonomi, pembangunan mampan, globalisasi, perdagangan dan harta intelektual. – SM

(Visited 251 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button