
Dari mana PKR boleh menang 80 kerusi, tanya Rafizi
SASARAN yang dibuat oleh Timbalan Ketua Penerangan PKR, R Ramanan bahawa parti itu mampumemenangi sehingga 80 kerusi parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) tidak realistik.
Menteri Ekonomi yang juga Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, sebelum unjuran seperti itu dibuat sepatutnya kena rujuk terlebih dulu jumlah kerusi ditandingi parti berkenaan dalam PRU15 pada tahun 2022.
“Ramanan kata dia sokong Nurul Izzah sebagai timbalan presiden kerana Nurul Izzah ada formula untuk menang 80 kerusi (parlimen) dalam PRU akan datang. Dia kira tak berapa kerusi kita bertanding dalam PRU ke-15?
“Semasa PRU yang lepas kita bertanding 72 kerusi parlimen di Semenanjung, 12 di Sabah dan 16 kerusi di Sarawak.
“Maknanya 100 kerusi… dan ketika itu dalam keadaan kita – PH lawan BN dan PN, tidak ada kerusi bertindih.
“Kalau kita masuk (PRU ke-16) sebagai kerajaan perpaduan, kita kena bahagi kerusi. PH kena rundingkan kerusi dengan BN.
“Mustahil kita boleh bertanding di semua 72 kerusi itu (seperti PRU ke15),” katanya ketika berucap dalam siri jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa (Hiruk) di Mentakab, dekat Temerloh, Pahang, malam tadi.