Jenayah

Lelaki dipercayai jadikan rumah lokasi jual air ketum, ditahan

SEORANG lelaki dipercayai menjadikan rumahnya sebagai lokasi penjualan air ketum ditahan dalam serbuan Op Tapis di Felda Serting Hilir 2, Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan, semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Supt. Mohd Khairiel Mohd Arif berkata, suspek berusia 24 tahun itu ditahan bersama 42 liter air disyaki air ketum dalam serbuan pada pukul 2.20 petang.

“Sebanyak 42 bungkusan plastik berisi air disyaki air ketum dengan anggaran isipadu 42 liter yang disimpan dalam satu tong penyejuk dan diletakkan di bahagian dapur rumah itu telah dirampas… air ketum ini dianggarkan bernilai RM420,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut kerana dipercayai air ketum itu dimasak di tempat lain memandangkan tiada sebarang kesan air ketum dimasak di rumah suspek yang merupakan penduduk di Felda tersebut.

“Suspek yang ditahan, diuji negatif daripada sebarang dadah dan tiada sebarang rekod jenayah lampau,” katanya sambil menambah, operasi itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol.

Mohd. Khairiel berkata, operasi itu memberi mesej jelas kepada penjual serta pengguna air ketum bahawa mereka yang terlibat dalam aktiviti ini tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang. – BERNAMA – SM

(Visited 285 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button