Hiburan

Daqmie jual cerita melalui koleksi Kurta Eco Batiq jenama Pendeta

DAQMIE atau nama sebenarnya Azmee Manap, 51, merupakan seorang penyanyi, penulis lirik, komposer, penerbit rakaman, penata bunyi dan guru vokal yang telah aktif dalam bidang seni sejak 1989 cuba mengatur langkah untuk menceburi bidang perniagaan tekstil.

Menurutnya, hasrat untuk menjadi usahawan sudah lama terpendam, cuma dirinya belum menemui orang yang sesuai untuk membimbingnya dalam bidang tersebut.

Oleh itu, peluang datang apabila Datuk Asfarena yang juga merupakan rakan baiknya, membuat pelawaan untuk bekerjasama dengan Secret Modest.

“Saya dengan Datuk Asfarena adalah kawan baik. Beliau yang ajak saya untuk buat bisnes tekstil ini. Sebab itu, saya berani buat dan yakin kerana Datuk Asfarena ini memang pakar dalam apa yang dilakukannya.

“Dia adalah Pengarah Kreatif dan pereka fesyen teknikal yang disegani dan mempunyai rangkaian perniagaan yang kukuh. Sebagai pemilik Secret Modest yang cemerlang dalam menghasilkan pelbagai jenis pakaian, saya yakin dapat belajar dan mengembangkan perniagaan saya yang bergerak di bawah syarikat A&T Brilliant Sdn. Bhd.,” katanya.

Jelasnya, apa yang dibuat sekarang adalah untuk membangunkan produk kerana untuk terlibat dalam perniagaan tekstil perlu ada rangkaian bisnes yang panjang. Ini kerana, dia bukan hendak buat baju sahaja tetapi lebih kepada ingin membuat cerita mengenai bagaimana dan kenapa sesebuah koleksi tersebut dihasilkan.

Selaku Ketua Pegawai Eksekutif A&T Brilliant, Daqmie berkata, syarikat yang ditubuhkan bersama seorang rakan kongsi itu, untuk permulaan akan mengeluarkan koleksi yang mengetengahkan kurta potongan longgar dan seluar berlipat pelekat bahagian hadapan iaitu teknik potongan lama untuk lelaki di bawah jenama Pendeta By Daqmie.

“Sekarang ini, untuk produk awal, saya tekankan kepada produk Eco Batiq. Elemen warna dan sumber daripada kayu-kayu dan daun adalah motifnya. Pola seluar Pendeta ini sudah saya simpan lama untuk dibuat. Rekaannya, dari depan nampak macam kain tapi sebenarnya seluar.

“Buat masa sekarang, kita buat untuk koleksi pakaian lelaki sahaja dulu, lepas ini akan menyusul jubah, baju perempuan dan kemungkinan besar baju kanak-kanak juga,” jelasnya yang mendapat ilham menghasilkan seluar Pendeta sewaktu berada di Mesir.

“Bila saya pakai seluar itu, mesti ada yang tanya dan nak tahu siapa yang buat. Saya katalah, saya yang buat sendiri dan mereka tanya tak nak jual ke? Saya kata nak jual tapi tunggu dulu sebabnya saya nak jual cerita.

“Setiap produk Pendeta akan ada jalan ceritanya. Kalau kita buat seluar ini, kenapa kita buat seluar tersebut. Kalau kita buat baju itu, kenapa ia dihasilkan.

“Daripada produk itu barulah saya boleh kaitkan dengan kerja seni saya, kalau tidak macam mana saya nak buat kerana setiap produk ada jalan cerita dan saya boleh buat lirik dan lagu,” jelasnya tentang pola seluar produk jenama Pendeta By Daqmie yang telah dipatenkan bagi memudahkan urusan perniagaan.

Tambah Daqmie, seluar jenama Pendeta yang mudah dan selesa untuk solat serta tampak cantik dipadankan dengan kasut sukan, capal atau kasut biasa itu akan dijual secara eksklusif di laman atas talian Secret Modest.

Untuk makluman, perkataan Pendeta menjadi pilihan Daqmie untuk jenama pakaian keluaran A&T Brilliant kerana nama Pendeta diberi oleh arwah bapa kepadanya.

“Nama Pendeta ini bapa saya yang bagi nama dan itu adalah nama samaran saya dalam keluarga. Arwah bapa pernah cakap, suatu hari nanti kamu akan dapat keluarkan satu benda ini tapi dalam bentuk seni.

“Bagi saya, nama Pendeta itu sangat unik kerana ia membawa maksud pemikir dan ia bercerita tentang bagaimana sesuatu perkara itu berlaku. Untuk logo Pendeta pula, saya memilih tanjak kerana saya adalah orang yang memulakan pemakaian tanjak dari tahun 2014 untuk acara dan majlis yang saya hadiri,” katanya.

Saiz baju dan seluar akan dikeluarkan dari saiz S hingga XXL dan menariknya pembeli boleh membeli sepasang pakaian tersebut atau memilih untuk memiliki salah satu daripadanya.

Daqmie berharap dia dapat memperkenalkan jenama Pendeta seperti jenama lain yang sedia ada dan dia juga mahu menjadi salah seorang pengeluar tekstil yang ada nama sendiri.

Koleksi Kurta Eco Batiq boleh dibeli melalui laman sesawang https://secretmodest.my/ – SM

(Visited 325 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button