Politik

DAP tidak gembira PKR hormati keputusan UMNO kekal sokong PN

DAP tidak berpuas hati dengan knyataan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail bahawa parti itu “menghormati” keputusan UMNO untuk terus menyokong Perikatan Nasional (PN).

Menurut Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, kenyataan berkenaan membayangkan bahawa PKR mempunyai kerjasama dengan UMNO.

Sebelum ini DAP telah menerangkan kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa parti itu tidak akan menjalinkan sebarangan kerjasama dengan UMNO.

“Kita telah berlawan dengan Umno. Ketika PRN Sabah, di Kota Kinabalu, saya kata kita tak akan bersama dengan Umno di bawah pimpinannya, Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak.

“Kita melawan mereka dalam pilihan raya. Kita bersatu dalam hasrat menyingkirkan kerajaan kleptokrat BN yang diketuai Umno, bagaimana kita boleh patah balik dan bekerjasama dengan mereka?” kata Guan Eng dalam wawancara bersama Malaysiakini di Pulau Pinang.

Guan Eng menyifatkan kenyataan Saifuddin sebagai “tidak dijangka” dan tidak mencerminkan pendirian parti-parti dalam Pakatan Harapan secara keseluruhan.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, ketika Anwar membuat pengumuman memiliki majoriti pada 23 September lalu, DAP difahamkan bahawa sokongan diperolehi termasuk daripada beberapa parti politik dan ahli Parlimen secara individu, tetapi bukan Umno.

“Pendirian kami dan PH jelas. Anda perlu tanya PKR tentang pendirian mereka,” katanya dalam laporan yang diterbitkan oleh Malaysiakini hari ini.

Dua hari lalu Saifuddin Nasution berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menghormati kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu melakukan gencatan politik untuk menumpukan usaha menangani wabak koronavirus (Covid-19).

Keadilan mengambil maklum dan menghormati kenyataan yang telah dibuat Presiden UMNO hari ini (semalam).

“Pada masa yang sama, kami akan mengekalkan usaha ke arah mengembalikan mandat rakyat dengan kebersamaan Ahli-Ahli Parlimen yang mendokong cita-cita dan harapan yang sama iaitu untuk memperbetul hala tuju kepimpinan negara terutama dalam usaha memerangi wabak Covid-19, menyuntik semangat dan membangun semula ekonomi, serta melipat gandakan usaha menyelesaikan masalah rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Anwar sebelum ini mendakwa bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti melebih 120 Ahli Parlimen untuk mengambilalih pentabiran negara daripada Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.

Malah Anwar turut diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah untuk menghadap pada 13 Oktober bagi mempersembahkan sokongan yang didakwa dimilikinya.

Malangnya Ketua Pembangkang di Parlimen itu tidak langsung menyerahkan senarai nama dan akaun bersumpah ahli-ahli Parlimen yang didakwa menyokong beliau.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini menyatakan beliau tidak mempunyai halangan jika ada Ahli Parlimen UMNO mahu menyokong Anwar, membuat pengumuman semalam untuk melakukan gencatan politik.

Ahmad Zahid turut meminta agar menteri dalam Kabinet Muhyiddin untuk memperteguhkan Kerajaan Perikatan Nasional dan membantu rakyat yang kini berhadapan dengan tekanan Covid-19 dan ekonomi.-SM

 

 

 

(Visited 150 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button