Nasional

Isu e-hailing, p-hailing, rider atau Grab dapat perhatian serius PM

KEPRIHATINAN Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap isu dan masalah yang dihadapi oleh pemandu e-hailing dan p-hailing membuatkan Setiausaha Politik beliau, Khaizulnizam Mohamad Zuldin mengadakan pertemuan dengan wakil pemandu e-hailing dan p-haling petang ini.

Dalam pertemuan itu, beliau berkata, Pejabat Perdana Menteri selepas ini akan mengatur satu pertemuan untuk mereka dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong pada Isnin ini.

Selain itu, Pejabat Perdana Menteri juga, kata Khaizulnizam akan mengatur pertemuan mereka dengan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Menurut Khaizulnizam, beberapa libat urus hampir sama juga akan dirancang memandangkan Perdana Menteri memandang serius isu berkenaan dan mahu ia diselesaikan sebaik mungkin.

“Kesungguhan pihak Kerajaan dilihat amat tinggi terhadap pembelaan mereka. Oleh sebab itulah kerajaan meluluskan usul Perkeso, insurans yang diumumkan dalam bajet sebelum ini, telah dilaksanakan.

“Cuma masih ada dua tuntutan belum dilaksanakan iaitu badan kawal selia dan pengikhtirafan mereka sebagai pekerja.

“Saya akan bersama membantu mereka dan Perdana Menteri juga serius untuk membela mereka,” katanya.

Beliau berkata, sesi yang diadakan petang ini akan diteruskan dan pentingnya, hari Isnin depan, sudah diatur pertemuan dengan Menteri Pengangkutan.

“Selepas ini, kita akan bawa kumpulan ini untuk bertemu dengan Menteri Sumber Manusia supaya perkara ini lebih cepat diselesaikan,” katanya.

Khaizulnizam berkata demikian kepada pemberita tentang isu e-hailing dan p-hailing yang antaranya ialah isu caj syarikat pengendali yang dianggap tidak berbaloi, tambang yang semakin rendah, lambakan penghantar p-hailing serta beberapa isu lain.

Terdahulu, beberapa wakil kedua-dua persatuan itu mengadakan perbincangan hampir satu jam dengan wakil Pejabat Perdana Menteri dan Pemuda UMNO yang diwakili exconya, Fairuz Jamaludin.

Sebelum ini media melaporkan, rakan kongsi penghantaran Grab tidak berpuas hati dengan kadar rata semasa yang dibayar bagi setiap penghantaran sehingga mencetuskan perancangan gerakan memboikot selama sehari, hari ini.

Mereka mendakwa tidak diberi upah yang setimpal terutamanya yang mengambil masa lebih lama untuk disiapkan.

Pun begitu, Grab Malaysia mendakwa, mereka tidak mengurangkan upah untuk perkhidmatan penghantaran sebaliknya isu yang tercetus merupakan kes terpencil membabitkan rakan penghantaran mereka.

Grab Malaysia menerusi satu kenyataannya semalam memaklumkan, isu itu yang menimbulkan salah faham dalam kalangan rakan penghantar telah pun diselesaikan dan diberikan pencerahan kepada mereka yang terlibat. – SM

(Visited 374 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button