pilihanPolitik

DAP sokong Perdana Menteri haruslah orang Melayu, seru buang politik perkauman!

RAKYAT diminta menggunakan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) kali ini sebagai peluang untuk membuang politik perkauman sekali gus mengubah landskap politik negara.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook berkata, parti itu sentiasa menghormati hakikat bahawa Malaysia perlu dipimpin oleh perdana menteri berbangsa Melayu, namun mahukan individu yang benar-benar layak memegang jawatan tertinggi itu.

“Kita terima hakikat, di depan saya ini ramai orang Cina, Melayu pun ramai. Saya beritahu pada rakan-rakan Melayu, kita dalam DAP terima dan hormat bahawa kepimpinan Malaysia, perdana menteri mesti Melayu.

“Tetapi, kita mahu Melayu yang berwibawa, yang bersih, yang jujur, yang ada intelektual macam (Datuk Seri) Anwar Ibrahim supaya Malaysia disegani dan dihormati.

“Cukuplah dengan politik perkauman. Kita gunakan PRU15 untuk memecahkan politik perkauman dan naikkan kerajaan PH di bawah Anwar,” katanya.

Tambahnya, kejayaan mana-mana kaum di negara ini adalah kejayaan Malaysia dan negara perlu dibangunkan dan dipulihkan bersama.

Loke berkata demikian ketika berucap dalam Grand Finale Jelajah Mega PH di Keramat, malam tadi.

Turut hadir, Anwar, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Gombak Datuk Amirudin Shari dan Presiden Parti Ikatan Demokratik (Muda) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, PH satu-satunya gabungan parti politik yang bersedia mengambil alih Putrajaya dan mentadbir negara, dan ia dibuktikan menerusi fokus mereka terhadap isu rakyat sepanjang kempen PRU15 kali ini.

“Barisan Nasional (BN) kata Perikatan Nasional (PN) tak guna, pengkhianat. PN kata (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi korup, rasuah dan tak boleh kerjasama.

“Tetapi semalam mereka umum kalau tak ada majoriti, kita peluklah, tubuhkan kerajaan. Politik apa ini?

“Kita semua diheret ke kancah PRU semasa musim banjir kerana PN gaduh dengan BN, tiba-tiba mereka nak gabung balik. Jadi, buat apa pilihan raya?

“Sebab itu rakyat kena bangkit, yang jelas hanya PH yang bersatu,” ujarnya.

(Visited 378 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button