Nasionalpilihan

600 penghuni PPR Krubong resah banyak kerosakan

Penduduk di Projek Perumahan Awam (PPR) Krubong dekat sini berdepan dengan pelbagai masalah kerosakan kediaman mereka di empat buah blok yang tidak dapat diselesaikan oleh Lembaga Perumahan Melaka (LPM).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin berkata, beliau menerima banyak aduan daripada penduduk berhubung kerosakan rumah seperti mozek lantai meletup, saluran paip bocor dan masalah sampah.

Sehubungan itu beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri meminta LPM untuk mengambil tindakan segera untuk membaikpulih kerosakan yang berlaku.

“Banyak aduan yang dimaklumkan kepada saya tentang kerosakan rumah kediaman mereka dan baru-baru ini berlaku lagi mozek lantai meletup dan pecah.

“Pihak Jawatankuasa dan Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Paya Rumput telah beberapa kali memaklumkan masalah ini kepada LPM.

“Justeru saya amat berharap pihak LPM untuk bertindak segera membaiki kerosakan yang berlaku di empat blok PPR ini,” ujarnya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Keluarga PPR Krubong 2023
di sini hari ini.

Rais berkata, masalah longkang yang pecah di Dewan Serbaguna PPR juga perlu diambil perhatian yang serius oleh LPM kerana telah berlaku kecederaan kepada kanak-kanak sewaktu bermain futsal berhampiran dewan tersebut.

Selain itu katanya, masalah sampah yang tidak diangkut mengikut jadual juga telah menimbulkan keresahan kepada penduduk kerana masalah pencemaran bau.

“LPM perlu bertindak segera untuk membaiki kerosakan yang berlaku kerana tidak lama lagi umat Islam akan menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidil Fitri,” ujarnya.

Sementara itu Pengerusi PPR Krubong, Supian Majid berkata, sebanyak 150 unit rumah kediaman mengalami pelbagai kerosakan sejak mula mendudukinya sejak 2017.

Menurutnya, antara masalah lain yang dihadapi oleh penduduk ialah sistem keselamatan bomba yang tidak berfungsi sejak 2018.

“Selain itu, penduduk turut berdepan dengan masalah puluhan kera sering memasuki rumah mencuri makanan dan kehadiran anjing liar berkeliaran berhampiran PPR Krubong,” ujarnya. – SM

(Visited 443 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button