Nasional

Hishammuddin atau Tok Pa ganti Maszlee?

SELEPAS kisah peletakan jawatan Dr. Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan, tumpuan kini tentunya terarah kepada siapa yang bakal mengambil alih kekosongan kerusi itu.

Antara nama yang disebut-sebut ialah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri.

Ini kerana Dr. Mahathir pernah berhasrat meletakkan portfolio itu di bawahnya tetapi ditentang parti gabungan Pakatan Harapan (PH).

Namun, tidak mustahil jika bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein membuat kemunculan kembali.

Hishammuddin pernah menerajui kementerian tersebut ketika era pentadbiran Dr. Mahathir sebelum ini dan beliau dilihat berjaya.

Dalam masa sama, hubungan baik antara kedua-dua mereka bukan lagi menjadi rahsia.

Khabar angin yang mengatakan Ahli Parlimen Sembrong itu merancang ‘membawa masuk’ beberapa pemimpin kanan UMNO untuk memperkukuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga menguatkan teka-teki tersebut.

Kemasukan Hishammuddin ke dalam Kabinet tentunya akan memberi harapan kepada rakan-rakan lain untuk tidak perlu lagi berfikir panjang.

Bagaimanapun, selagi Hishammuddin masih ahli UMNO, pelantikan itu mungkin tidak berlaku.

Seorang lagi tokoh politik yang dikatakan paling hampir untuk mengisi kekosongan itu adalah Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau dilihat bukan sahaja anak didik Dr. Mahathir tetapi seorang ‘pekerja’ yang rajin.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu jarang menghampakan ketuanya apabila diberi tugasan untuk dilaksanakan.

Berbeza dengan kedudukan Hishammuddin, Mustapa atau lebih dikenali sebagai Tok Pa, kini merupakan ahli Bersatu.

Apa pun alasan yang diberikan, kuasa memilih dan melantik Menteri Pendidikan kini terserah kepada kebijaksanaan Perdana Menteri.

Sebagai individu yang sangat berpengalaman, Dr. Mahathir tentunya mampu mengenal pasti siapa  paling layak untuk memikul tanggungjawab bagi mencorak budi pekerti dan minda generasi muda.

Ini kerana kegagalan berbuat demikian bermakna masa depan anak bangsa, akan lebur bersama-sama arus kemajuan dan pembangunan yang sedang rancak direncanakan ketika ini.

(Visited 218 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button