Politik

DAP, Amanah bidas hantaran Zahid Hamidi

UMNO juga berbelah bahagi untuk adakan pilihan raya awal

DALAM hantaran Facebook semalam, Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, “pembangkang nampaknya mahu membeli masa dengan menolak pilihan raya awal diadakan dan cuba menipu pengundi.”

Catatan Zahid mengundang maklumbalas DAP dan Amanah kerana mereka merasakan bekas Timbalan Perdana Menteri itu menuduh pembangkang bersalah jika pilihan raya awal tidak diadakan.

Pengerusi DAP Lim Guan Eng dan ahli Jawatankuasa Pusat Amanah, Faiz Fadzil menyelar balas hantaran Zahid dengan berkata, menteri daripada UMNO sendiri tidak semuanya bersetuju ia dilakukan.

Guan Eng berkata, Presiden UMNO itu nampak seperti cuba mengalihkan perhatian daripada pandangan berbelah bahagi dalam parti UMNO itu sendiri.

“UMNO berbelah bahagi sama ada mahu pilihan raya diadakan,” kata Guan Eng.

Katanya lagi, “mudah untuk menyalahkan pembangkang. Ada Ahli Parlimen dan menteri dalam UMNO yang juga tidak menyokong pilihan raya diadakan,” kata Guan Eng lagi memetik laporan FMT.

LIM GUAN ENG

Kata Guan Eng, “jika beliau mahu menunjukkan cakap serupa bikin, kenapa tidak pecat sahaja mereka yang menentang pilihan raya mengejut daripada parti? Bukannya sekadar memberikan omongan kosong.”

Beliau berkata, Zahid tidak patut mendesak pilihan raya diadakan sebaliknya menasihatkan rakan-rakan dalam kerajaan yang memerintah supaya menangani isu kenaikan harga barangan, kekurangan tenaga kerja dan nilai ringgit yang semakin lemah.

Faiz pula berkata, dakwaan Zahid bahawa pilihan raya akan membawa kepada kerajaan yang stabil adalah tidak benar.

Beliau mendakwa, Barisan Nasional (BN) yang sebenarnya bertanggungjawab mengakibatkan isu yang kini melanda negara, seterusnya dasar-dasar gabungan itu yang tidak stabil akan berterusan sekiranya ia menang.

Beliau juga mendakwa, pada masa lalu, BN tidak bijak menangani inflasi dan memberi contoh kadar inflasi 4.2% pada Februari 2016 yang melonjak kepada 5.1% pada Mac 2017.

“Hari ini pula, perdana menteri tiada strategi keluar daripada krisis kekurangan makanan dan peningkatan harga barangan.

“Jadi apa relevannya mahukan kerajaan stabil sedangkan orang yang sama begitu yakin mereka akan kembali berkuasa?” soalnya.

Faiz berkata, langkah mengadakan pilihan raya sekarang akan menelan belanja tinggi sedangkan dana itu boleh digunakan untuk menangani isu berkaitan inflasi.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub menyifatkan komen Zahid itu tidak perlu dilayan kerana beliau bukannya mampu membubarkan Parlimen.

“Kita patut tidak mengendahkannya sahaja,” katanya.

Beliau berkata, pembangkang sentiasa bersedia untuk menghadapi pilihan raya tetapi isu seperti kenaikan harga barangan lebih mendesak.

Parlimen bakal tamat penggalnya pada Julai tahun depan namun susulan kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Melaka, pemimpin BN percaya gabungan itu mempunyai kelebihan sekiranya pilihan raya umum diadakan sekarang. – SM

 

(Visited 277 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button