Nasional

e-Desa platform usahawan luar bandar KPLB pasarkan produk

KUALA LUMPUR, 21 Feb. – Kementerian Pembangunan Luar Bandar, KPLB mensasarkan seramai 20,000 usahawan luar bandar berdaftar dengan aplikasi e-dagang e-Desa yang dibangunkan khusus untuk industri kecil dan sederhana (IKS), di luar bandar menjelang hujung tahun ini.

Untuk itu Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyeru semua usahawan IKS di bawah KPLB dan agensinya merebut peluang mendaftar bersama platform e-Desa bagi memasarkan produk mereka.

“Setakat ini, seramai 500 usahawan luar bandar yang telah berdaftar dan dijangka pada Ramadan nanti ia meningkat kepada 1,000 orang dan menjelang hujung tahun sehingga 20,000 pendaftaran.

“Agensi di bawah KPLB juga bersedia untuk membantu penduduk luar bandar meningkatkan pendapatan mereka melalui platform berkenaan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran platform e-Desa di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Datuk Che Murad Sayang Ramjan, Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf dan Pengarah Urusan e-Desa, Saiful Zaharin Zakariya.

Jelas Mahdzir, KPLB melihat e-Desa berpotensi untuk berkembang sebagai platform pemasaran produk usahawan luar bandar sebagai platform tambahan kepada program Desa Mall@KPLB yang menjadi platform usahawan tempatan berniaga secara dalam talian dan fizikal.

“E-Desa boleh bersama-sama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), memainkan peranan bersama-sama untuk kesejahteraan rakyat iaitu bagaimana nak meningkatkan pendapatan dan hasil masyarakat luar bandar khususnya peniaga kecil.”

KPLB tambah Mahdzir, mempunyai banyak agensi yang memberi pinjaman, geran dan khidmat nasihat kepada peniaga kecil dan usahawan di luar bandar untuk dimanfaatkan.

“Diharap e-Desa akan memberi peluang dan ruang kepada produk ‘orang kampung’ dipasarkan dengan lebih meluas dan bakal menjadi aplikasi wajib bagi setiap rakyat Malaysia terutama untuk mendapatkan produk serta perkhidmatan buatan tempatan,” katanya.

Platform e-Desa dibangunkan oleh pasangan suami isteri yang juga usahawan, Saiful Zaharin Zakariya dan Fadhilah Azmi dari Kuala Nerang, Kedah.

Ia merupakan aplikasi e-dagang yang memfokuskan jualan produk dan perkhidmatan IKS termasuk pertanian, hasil laut, makanan, inap desa, barang mentah dan buah-buahan. – SM

(Visited 319 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button