Nasionalpilihan

Dana RM200 juta KPLB untuk Pembangunan Usahawan Desa

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan dana RM200 juta bagi pembangunan bersepadu termasuk latihan, dana pembiayaan dan infrastruktur yang kondusif bagi perkembangan usahawan luar bandar.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) antara inisiatif KPLB untuk memperkasakan sistem pembiayaan kewangan, kemudahan fizikal dan sistem sokongan luar bandar kepada usahawan.

“Program ini menyediakan platform kepada semua pihak yang terlibat dalam rantaian keusahawanan termasuk pengeluar, pembekal, pemborong dan pengedar untuk menjalin kerjasama strategik termasuk meluaskan jaringan perniagaan.

Melalui program ini juga KPLB dapat mengumpul maklumat dan mendapat maklum balas terkini daripada usahawan luar bandar khasnya di bawah bimbingan KPLB mengenai keberkesanan program pengukuhan keusahawanan yang telah dilaksanakan oleh agensi-agensi di bawah KPLB.”

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) di Kompleks Sukan Limbang di sini hari ini.

Jelas Mahdzir, hampir semua agensi di bawah KPLB mempunyai program khusus untuk pembangunan usahawan luar bandar.

Agensi tersebut adalah Majlis Amanah Rakyat (MARA), FELCRA Berhad, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Turut terlibat, agensi wilayah iaitu KETENGAH di Terengganu, KESEDAR di Kelantan, KEJORA di Johor, KEDA di Kedah dan PERDA di Pulau Pinang.

Sementara itu, Mini KUD@Limbang berjaya mencatat nilai jualan tunai lebih RM400 ribu dengan kehadiran lebih 30 ribu pengunjung sepanjang tiga hari karnival yang bermula Jumaat lalu.

“Ia melepasi sasaran awal sebanyak RM200 ribu. Jika kita mengambil kira sesi padanan perniagaan atau “business matching” nilai keseluruhan yang berjaya dicatatkan mencecah RM1.1 juta”, kata Mahdzir.

Pada majlis sama, Mahdzir turut menyampaikan geran Skim Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) kepada 25 usahawan desa.

25 lagi menerima bantuan penyediaan warung di bawah Program Peningkatan Pendapatan (PPP) manakala 10 penerima lagi di bawah Program Quick Win Kemas (Pengurusan Katering).

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri II KPLB, Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun. – SM

Artikel berkaitan > FELCRA dalam pertimbangan lupus hutang lapuk pesertanya bernilai RM230 juta

(Visited 364 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button