BeritaNasional

Dana RM20 juta tiada kaitan projek kereta terbang

Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) tiada keperluan menjalankan audit kewangan dan harta intelek ke atas syarikat Aerodyne Group kerana projek kereta terbang/super drone (air mobility) bukan merupakan perolehan kerajaan yang biasa dijalankan.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof menegaskan, projek air mobility itu tidak melibatkan sebarang peruntukan daripada kementeriannya, bahkan pihaknya tidak akan menanggung sebarang kerugian sekiranya ia tidak berjalan seperti yang dirancang.

Beliau menjelaskan, pada 9 Ogos lalu kerajaan bersetuju dana sebanyak RM20 juta diperuntukkan bagi membangunkan inovasi dan penyelidikan serta pembangunan Projek Kereta Nasional Baharu (NNCP) serta DreamEdge dan MIGHT dilantik sebagai peneraju NNCP.

Pemilihan tersebut, kata Mohd Redzuan, berdasarkan kepakaran syarikat dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan kemampuan pembangunan teknologi baharu berkaitan automotif dengan kerjasama Daihatsu sebagai technology solutions partner.

Objektif NNCP adalah untuk membangunkan teknologi baharu yang jimat tenaga dan menggunakan sistem hibrid yang mana syarikat itu memiliki kepakaran untuk melaksanakannya.

“Dana ini (RM20 juta) juga tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan pembangunan projek dron dan kereta terbang/super drone (air mobility) yang dibangunkan oleh syarikat Aerodyne.

“Kementerian Pembangunan Usahawan tidak mempunyai peruntukan dan kuasa untuk meluluskan dana bagi tujuan pelaburan dalam sebarang projek dron seperti yang dinyatakan dalam kenyataan akhbar.

“Projek ini diterajui oleh sektor swasta dan dibiayai sepenuhnya oleh Aerodyne Group, sebuah syarikat tempatan. Projek ini tidak melibatkan sebarang peruntukan daripada kerajaan dan oleh itu ia tidak dibawa ke peringkat Mesyuarat Jemaah Menteri kerana tidak memerlukan sebarang keputusan kerajaan.

“Berbanding dengan NNCP, projek dron ini bukanlah satu projek nasional, sebaliknya, peranan Kementerian adalah untuk menyokong dan memudah cara pembangunan usahawan PKS yang berinovasi tinggi, selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) – di bawah Teras Strategik 5 untuk memperluas sektor berpotensi utama dalam industri pertumbuhan tinggi seperti aeroangkasa, automatif, rel, tenaga boleh diperbaharui, peranti perubatan, bioteknologi dan industri halal,” kata Mohd Redzuan dalam satu kenyataan semalam.

Menurut beliau, Kementerian Pembangunan Usahawan telah dijemput menghadiri prosiding berhubung Pembangunan Projek Air Mobility pada 14 Mei lalu oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan telah memaklumkan kepada PAC perkembangan semasa dan justifikasi projek Air Mobility.

“Pihak kementerian memaklumkan juga pembangunan prototaip Air Mobility serta hak milik intelektual termasuk reka bentuk dan perisian Air Mobility adalah di bawah tanggungjawab syarikat yang membangunkan projek tersebut termasuk kos berkaitan di mana pihak kementerian tidak membelanjakan sebarang peruntukan.

“MED turut mengambil maklum rumusan dan cadangan PAC berkaitan dengan Air mobility.

“MED akan sentiasa menjalinkan kerjasama secara berterusan dengan pemain industri tempatan dan antarabangsa bagi mencapai objektif yang disasarkan di bawah DKN 2030.

– SUARA MERDEKA

(Visited 92 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button