Ekonomi

Dana Penjana Nasional berjaya kumpul RM850 juta

Program Dana Penjana Nasional (DPN) telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM850 juta pada pusingan awal berakhir 31 Mei lalu.

Kutipan dibuat oleh syarikat Penjana Kapital Sdn. Bhd. yang ditubuhkan untuk mengendalikan program DPN.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, syrikat pengumpulan dana tersebut berjaya mengutip dana 3.7 kali ganda berbanding sasaran awal sebanyak RM228 juta.

Menurutnya, daripada jumlah dana tersebut RM433 juta atau lebih daripada 55 peratus merupakan modal pelabur asing termasuk pelaburan dari Hong Kong dan Korea Selatan.

Menurut Tengku Zafrul, daripada 8 syarikat modal teroka asing dan rakan kongsi tempatan yang telah terpilih dalam program DPN tiga telah mencapai sasaran dana pusing akhir lebih awal daripada jangkaan.

“Daripada dana RM850 juta sebanyak RM118 juta telah diluluskan untuk sembilan syarikat pemula niaga.

“Portfolio syarikat pemula niaga di bawah program DPN komited untuk menyumbangkan manfaat ekonomi ketara kepada eknonomi Malaysia. Mewujudkan sekurang-kurangnya 1,400 pekerjaan berkualiti tinggi,” katanya.

Tambah beliau, jumlah dana untuk dilaburkan daripada program tersebut adalah RM1.2 bilion dalam tempoh dua tahun.

Jumlah berkenaan lebih besar jika dibandingkan dengan jumlah komitment dana di bawah pengurusan syarikat modal teroka Malaysia berjumlah RM4.4 bilion ringgit yang dilaporkan setakat akhir 2020.

“Suntikan dana ini dijangka akan memangkin eko-sistem syarikat modal teroka tempatan dan akan memberikan impak kepada ruang syarikat pemula niaga negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) Ke-56 sebentar tadi.

Matlamat DPN adalah untuk merapatkan jurang pembiayaan dengan memberi insentif kepada pelabur swasta untuk memudah cara pertumbuhan syarikat pemula niaga.

DPN juga bagi mewujudkan sebuah eko sistem yang menggalakkan syarikat pemula niaga berkembang sehingga ke peringkat antarabangsa selain menjadi instrumet untuk menarik pelaburan asing ke Malaysia.-SM

(Visited 102 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button