Mahkamah

Lelaki berdepan tiga tuduhan edar 83.4 kg dadah

Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini (Rabu) atas pertuduhan mengedar 83.4 kilogram (kg) dadah yang ditemui di dalam dua buah kereta, Februari lalu.

Tertuduh, Phua Cheong Ong, 49, hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan sejurus tiga pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabila Nizam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 20,793 gram yang disenaraikan di Bahagian III Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952 di dalam sebuah kereta jenis Toyota Camry.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 62,610 gram di dalam sebuah kereta jenis Toyota Vios.

Perbuatan itu dilakukan di tepi jalan KPKS 5, Kompleks Perniagaan Al-Azim, Kota Syahbandar, dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 3.20 petang 21 Februari lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah, jika tidak dihukum mati, disebat dengan sebatan tidak kurang 12 sebatan mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah
Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri, manakala tertuduh diwakili peguam Dzvuriyah Velayit Hussein dan kes itu disebut semula 25 April ini. – SM

(Visited 13 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button