pilihanPolitik

Muhamad Akmal menang Ketua UMNO Bahagian Jasin

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang baharu, Dr. Muhamad Akmal Saleh melakar satu lagi catatan sejarah peribadi bagi dirinya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu diumumkan sebagai Ketua UMNO Bahagian Jasin yang baharu serta melakar sebagai pemimpin paling muda dalam usia 35 tahun dipilih memegang jawatan tersebut bagi penggal 2023-2026 pada pemilihan parti itu semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri itu menang jawatan tersebut dalam saingan empat penjuru paling sengit apabila meraih 340 undi menewaskan penyandangnya, Datuk Hasan Rahman yang juga bekas ADUN Sungai Rambai yang mendapat 194 undi.

Dua lagi calon yang tewas ialah ADUN Serkam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan yang mendapat 151 undi dan bekas Bendahari Bahagian, Datuk Mohd. Yusof Osman sekadar meraih 21 undi.

Bagi jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian pula dimenangi Ahli Jawatankuasa (AJK) bahagian, Azman Abdullah dengan 289 undi menewaskan Setiausaha Politik Ketua Menteri yang juga bekas ADUN Merlimau, Datuk Roslan Ahmad mendapat 157 undi manakala Akauntan Barisan Nasional (BN) Datuk Shahrul Azuwar Abdul Aziz memperoleh 265 undi.

Bagi jawatan Naib Ketua pula dimenangi ADUN Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar (353 undi) menewaskan Mohd. Sham Dali (250) dan Zainorin Mohd Pilus (106).

Keputusan tersebut diumumkan Penyelia Pemilihan UMNO Bahagian Jasin, Abu Bakar Md. Sudi kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi dengan kehadiran 711 perwakilan pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Jasin di Dewan Alamanda di sini tengah malam tadi.

Muhamad Akmal berkata, kemenangan berganda yang diraihnya membuktikan itu adalah titik permulaan buat orang muda yang dulu ditolak tetapi kini telah diterima untuk memikul amanah dan tanggungjawab memimpin bahagian.

Menurutnya, UMNO kini sudah ada gelombang baharu yang mahukan perubahan kepimpinan orang muda kini telah diterima oleh semua lapisan masyarakat dan generasi.

“Alhamdulillah kemenangan saya sebagai bekas Ketua Pemuda Bahagian menang di Jasin tetapi kita orang muda juga turut menang di Alor Gajah dan Tangga Batu.

“Selain itu, bekas Ketua Puteri Jasin, Datuk Khaidiriah Abu Zahar pula menang jawatan Naib Ketua Bahagian dan ini merupakan satu titik permulaan besar perubahan baharu dalam parti.

“Ini juga turut membuktikan satu anjakan paradigma di dalam akar umbi UMNO yang mahukan perubahan kepimpinan di peringkat bahagian diterajui orang muda menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), Jun nanti dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16),” ujarnya.

Muhamad Akmal berkata, kemenangan sebagai Ketua UMNO Bahagian Jasin tidak akan membebankan dengan tanggungjawab besar yang digalas selepas menang jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang baharu.

“UMNO ini tidak boleh bergerak secara berseorangan, kita perlu bergerak secara berkumpulan malah di Pusat saya mempunyai barisan Exco yang turut membantu saya,” katanya. – SM

(Visited 217 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button