Auto Travel

Mendaki Trans 5 Puncak Latimonjong – Tiada istilah patah balik!

GUNUNG Latimonjong yang terletak di Kepulauan Sulawesi dengan ketinggian 3,478 meter, merupakan gunung tertinggi di kepulauan itu.

Banjaran gunung itu mempunyai 5 puncak iaitu Pantealoan, Pokopinjan, Buntu Tillok, Tinabang dan Rantemario yang merupakan puncak tertinggi. Trans 5.

Gunung Latimonjong yang juga dikenali sebagai Trans 5 Puncak Latimonjong, merupakan salah satu gunung dalam siri 7 puncak tertinggi di Indonesia.

Selain pendaki tempatan, kalangan penggiat gunung dari Malaysia juga tidak ketinggalan untuk cuba menawan puncak Latimonjong dalam usaha mereka melengkapkan siri pendakian ke 7 puncak tertinggi di Indonesia.

Terbaru, sekumpulan 17 pendaki berjaya menjadi pendaki pertama dari Malaysia yang menawan puncak Latimonjong menerusi satu ekspedisi yang dianjurkan oleh Kelab Jelajah Alpine Malaysia (Alpine Club Malaysia, ACM) dengan kerjasama Persatuan Malim Gunung Malaysia.

Menurut Presiden ACM, Muhammad Illaham Ishak atau lebih dikenali sebagai Pak Am, pendakian di banjaran gunung Latimonjong amat mencabar kerana pendakiannya memerlukan semangat yang kental serta tiada istilah berpatah balik.

“Untuk ekspedisi pendakian di Latimonjong ini, kita bermula dari Desa Angin-Angin yang terletak di kaki gunung Latimonjong di sebelah selatan dan menuju ke Desa Karangan di kaki gunung di sebelah utara”.

Tambah Pak Am yang mengetuai ekspedisi pendakian itu, pelbagai dugaan terpaksa diharungi peserta.

Antaranya, terpaksa meredah gelap malam, melalui trek pendakian yang menegak dan rabung-rabung puncak yang bahaya dengan laluan yang sempit sempit.

“Kami menyifatkan pengalaman pendakian di hutan dara yang jarang diterokai dan perjalanan melalui banjaran diliputi awan karpet ini amatlah mengujakan dan tidak salah kalau ekspedisi ini dinamakan sebagai “Trans Bayu” kerana sebahagian besar jarak pendakian umpama berjalan di atas awan”, jelas Pak Am.

Beliau turut berkongsi kisah bagaimana situasi ketika pendakian turun yang amat ekstrem di mana laluan licin dan berbahaya membuatkan pendaki terpaksa berpaut pada akar-akar pokok dan tali untuk turun.

“Situasi ketika pendakian turun amat menyeksakan sehingga ada kalangan pendaki yang seolah-olah menyesal ikut ekspedisi kali ini dan berfikir inilah yang pertama dan yang terakhir ke gunung ini.

Cukuplah sekali ini sahaja dan kalau ada lagi yang ajak untuk mendaki di gunung Latimonjong, kami tak nak ikut dah”.

Selain itu, kekurangan sumber air sepanjang perjalanan juga menyukarkan pendakian di mana pendaki terpaksa memikul dan membawa bekalan air untuk kegunaan di sepanjang ekspedisi iaitu selama tiga hari.

Bagi tujuan keselamatan dan memudahkan segala urusan pendakian, ekspedisi ini turut dibantu oleh pasukan Malim Gunung tempatan yang turut bertindak sebagai penunjuk arah dan juga pembawa barangan atau dikenali sebagai ‘porter’ yang diketuai oleh saudara Galih.

“Alhamdulillah dengan izin Allah dan semangat kental yang tidak pernah mengalah, tidak ada pendaki yang berpatah balik dalam ekspedisi ini sekaligus merealisasikan pendakian Trans 5 puncak ini”.

“Walaupun ekspedisi ini sukar tetapi dengan pengalaman pendaki dan persediaan alatan kecemasan yang dititikberatkan termasuk penggunaan telefon satelit membolehkan kami  berhubung dengan Sekretariat Ekspedisi di Malaysia yang diketuai oleh Zainudin Lot atau Deeno bagi melaporkan keadaan pendaki dan situasi perjalanan”, kata Pak Am.

Tambah beliau lagi, ekspedisi ke puncak Latimonjong juga dijayakan bagi melengkapkan Siri Pendakian ACM ke 7 Puncak Tertinggi Indonesia yang berbaki 3 puncak lagi iaitu Gunung Binaya di Maluku, Bukit Raya di Kalimantan dan Gunung Kerinchi di Sumatera.

Ekspedisi ini juga disertai oleh seorang pendaki dari MGP Kelantan iaitu Nor Muzhaffar Mat Hanaffi, 36, yang sedang membuat persediaan kecergasan untuk misi Expedition Kelantanese To Mt. Everest 2025.

Sementara itu, Presiden Malim Gunung Malaysia, Muhammad Fazlee Sabarudin atau dikenali sebagai Pak Lee berkata, Ekspedisi Latimonjong bukan pendakian biasa-biasa.

Sebaliknya menurut beliau, pendakian banjaran gunung di Kepulauan Sulawesi itu amat jarang mendapat perhatian pendaki dari Malaysia.

“Kami merancang pendakian ini dengan teknik “ultralite” yang amat membantu kejayaan ekspedisi ini kerana selain cabaran ketinggian, penyakit Akut Ketinggian Gunung (AMS), cuaca sejuk dan tiupan angin kuat, faktor berat peralatan juga memainkan peranan besar dalam menentukan pendaki dapat menawan puncak”.

Paling membanggakan, semua anggota ekspedisi berusia 31 tahun ke atas dengan lapan daripada 17 orang pendaki berusia antara 50 hingga 68 tahun.

Pihak Kelab ACM dan Persatuan Malim Gunung Malaysia mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang telah berjaya menawan puncak Trans 5 Latimonjong sekaligus mencipta sejarah menjadi kumpulan pendaki pertama dari Malaysia yang berjaya ke puncak itu.

Berikut adalah senarai pendaki Ekspedisi Trans 5 Latimonjong yang berlangsung pada 8-14 November lalu.

 

  1. Muhammad Illaham Ishak (47) – Ketua Pendaki
  2. Muhammad Fazlee Sabarudin (46)
  3. Fahmi Mohd Tauhid (47)
  4. Mohamad Kamaruddin Hassan (68)
  5. Ab Rahim Hussin (68)
  6. Nor Muzhaffar Mat Hanaffi (36)
  7. Khairuddin Muhamed Yusoff (46)
  8. Dr. Md Mahir Abdullah (68)
  9. Chia Kam Chong (60)
  10. Chung Sook May (58)
  11. Othman Abu Naim (55)
  12. Mohammad Khairil Walijan (31)
  13. Mohammad Zahirruddin Mansurdin (40)
  14. Nazri Ahmad (46)
  15. Mohd Zaid Muda (50)
  16. Rosyatimah Hussain (60)
  17. Wan Nurul Hazirah Wan Alkamar Shah (34)

SM

Artikel berkaitan > Kelab Jelajah Alpine Malaysia cipta rekod tersendiri

(Visited 250 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button