Ekonomi

Kos projek landasan berkembar Gemas-JB takkan naik

PROJEK Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) tidak akan mengalami sebarang kenaikan kos keseluruhan projek walaupun dijangka siap lewat setahun dari jadual asal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata projek yang kini dijadual siap pada Oktober 2022, menelan kos sebanyak RM9.55 bilion termasuk lebih RM400 juta untuk gerabak dan RM200 juta bagi perunding.

“Setakat yang kita dimaklumkan, tiada kenaikan (kos). Lagipun lewat itu sedikit sahaja, (perkembangan) sebanyak 1.6 peratus. Biasanya kalau satu hingga dua peratus itu dapat diselesaikan dalam masa dua tahun.

“Mengikut taklimat SIPP-YTL iaitu syarikat yang mengendalikannya, projek ini sudah 60 peratus siap. (Oleh itu) kelewatan 1.6 peratus itu boleh ditampung. Antara sebab (kelewatan) itu adalah COVID-19 selama dua tiga bulan ini namun syarikat ini berpengalaman dan diharapkan kerja mereka siap menjelang Oktober 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kerja-kerja berkaitan projek berkenaan di Stesen Keretapi Tanah Melayu Kulai, di Kulai, petang ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (Rail Division) SIPP-YTL Datuk Seri Azmi Abdul Aziz berkata kelewatan projek itu adalah berikutan proses pengambilan tanah serta pemberhentian kerja-kerja berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac lepas.

PLBEGJB itu melibatkan landasan sepanjang 192 kilometer dan melalui 11 stesen termasuk Segamat, Kluang, Labis, Bekok, Paloh, Renggam, Layang-Layang, Mengkibol, Kulai dan Kempas Baru.-BERNAMA 

(Visited 213 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button