Hiburan

Anzalna tidak tahu bapa jadi CEO Finas, tumpang bangga

SIAPA yang tidak bangga bila bapa mendapat jawatan tertinggi dalam satu-satu syarikat.

Begitu juga dengan pelakon Anzalna Nasir meluahkan rasa gembira dengan pelantikan bapanya, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim, 62, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang baharu.

Beliau yang bersyukur dengan peranan yang akan dipikul bapanya itu mengakui pada mulanya tidak mengetahui bapanya akan dilantik sebagai CEO Finaz.

“Pada awalnya, saya dan seluruh ahli keluarga tidak mengetahui mengenai pelantikan ini sehinggalah seorang kawan memaklumkan kepada saya mengenai khabar angin yang ayah saya bakal memegang jawatan CEO Finas.

“Ayah saya sangat profesional apabila membabitkan hal kerja. Dia tidak suka untuk berkongsi berita yang belum sahih kepada ahli keluarga. Jadi ketika saya hubunginya baru-baru ini, dia enggan mengesahkan perkara itu.

“Namun sebaik namanya diumumkan sebagai CEO Finas semalam, baharulah dia beritahu kepada ahli keluarga mengenai pelantikan itu. Sebagai anak, sudah tentu saya berasa syukur dan berbangga,” katanya seperti yang dilaporkan Harian Metro.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengumumkan pelantikan Md. Nasir sebagai CEO Finas bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa hari ini sehingga 30 Oktober 2023.

Md Nasir mempunyai kelulusan Ijazah Doktor Falsafah Pendidikan Seni dari Universiti Tasmania, Australia pada 2008 serta Pasca Kedoktoran dalam bidang sama dari Universiti Sheffield Halam, United Kingdom pada 2014.

Md Nasir yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti Sains Malaysia pada 1986 adalah bapa kepada lima anak perempuan termasuk pelakon, Anzalna, Afifah dan Mia.

Pelantikan itu bagi menggantikan jawatan Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang berakhir 15 Oktober lalu.

“Ini adalah tanggungjawab dan amanah yang besar. Saya doakan semoga ayah mampu mengalas tugas ini dengan sebaiknya melalui kerjasama yang bakal diberikan oleh semua pihak.

“Bagi saya, kejayaan hanya dapat dicapai jika dilakukan dalam satu pasukan selain mempunyai hala tuju yang sama iaitu untuk mengangkat dan memacu industri perfileman tanah air.

“Saya juga percaya ayah pasti sudah mempunyai perancangan yang ingin dilakukan untuk membawa nama Finas dan industri kreatif tempatan ke satu peringkat yang lebih maju ke depan,” katanya. -SM

(Visited 495 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button