KesihatanNasionalPenyakit

Daerah Kota Setar diisytihar kawasan wabak JE

PENYAKIT Japanese Encephalitis (JE) telah berlaku di kebanyakan negara-negara Asia seperti Kemboja, China, Indonesia, India, Jepun, Nepal, Sri Lanka, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Korea, Thailand, Vietnam, India serta kawasan di Selatan-Timur Persekutuan Rusia.

Kira-kira 3 bilion daripada penduduk dunia tinggal di kawasan-kawasan endemik dan hampir 50,000 kes JE dengan 10,000 kematian dilaporkan setiap tahun di seluruh dunia.

Di Malaysia, kes JE dilaporkan secara sporadik (kes-kes terpencil) dan kes pertama telah dicatatkan oleh Cruikshank pada tahun 1951 di mana berlaku kejadian wabak di kalangan banduan British semasa Perang Dunia Kedua.

Sekitar tahun 2011, wabak JE pernah dilaporkan berlaku dalam negara kita.

Baru-baru ini, wabak JE diisytihar di daerah Kota Setar, Kedah selepas dua kes jangkitan penyakit itu dikesan bulan ini, kata Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo.

Beliau berkata, kes pertama dilaporkan berlaku pada 18 November lalu, disusuli kes kedua pada 25 November dengan kedua-dua mangsa meninggal dunia.

“Sehingga Khamis lalu, jumlah kumulatif kes JE yang dilaporkan di Kedah pada tahun ini adalah 10 kes berbanding 8 kes pada tempoh sama tahun lalu, peningkatan 25%.

“Tiga daripada 10 kes meninggal dunia,” katanya seperti mana yang dilaporkan oleh Berita Harian.

Othman berkata, aktiviti kawalan wabak dilaksanakan serta-merta oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar dan Jabatan Kesihatan Negeri.

Katanya lagi, antara tindakan itu adalah kawalan vektor menerusi semburan ruang termal dan larvasiding di lokaliti kediaman pesakit dan tempat berisiko di lokaliti wabak.

“Pegawai Sains Kaji Serangga juga melakukan kajian entomologi di lokaliti wabak dan pengesanan kes secara aktif (ACD) di sekitar kawasan terbabit.

“Bagi mencegah penularan penyakit JE, masyarakat diseru supaya mengelakkan gigitan nyamuk dengan menggunakan racun menghalau nyamuk serta memakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang berwarna cerah apabila berada di luar rumah,” ujarnya.

Tambah beliau, tindakan menyembur semburan di dalam rumah pada pukul 10 malam boleh dilakukan bagi membunuh nyamuk dewasa.

“Orang ramai juga perlu membersihkan persekitaran serta mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk di kediaman masing-masing,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan rawatan segera di klinik kesihatan sekiranya mengalami gejala seperti demam, sakit kepala dan muntah. – SM

(Visited 211 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button